Categories
SELANGOR

Polis lancar operasi khas “Ops Black Flora”

SHAH ALAM 30 SEPT: Satu operasi khas “Ops Black Flora” telah dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor bagi mencegah kegiatan jenayah dikalangan warga asing yang mensasarkan rumah kediaman dan kedai-kedai tempat tumpuan warga asing di Apartment Flora Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam sidang medianya berkata, hasil daripada operasi yang dibuat, seramai 171 orang warganegara asing yang terdiri daripada warganegara Nigeria, Kenya, Uganda, Indonesia, Bangladesh, India, Nepal dan Thailand telah diperiksa dan 51 orang daripadanya ditahan di bawah Akta Imigresen kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Dalam operasi yang melibatkan sebanyak 70 unit rumah dan tiga unit kedai yang meliputi Blok A hingga Blok H Apartment Flora Damansara, Petaling Jaya itu, seorang lelaki warganegara asing daripada Nigeria nekad terjun dari tingkat lima Blok F apartment tersebut bagi mengelak daripada dicekup telah mengalami kecedaraan patah tangan kiri dan patah hidung.

Suspek kemudiannya telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan bantuan St. John Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Black Flora1Operasi yang bermula sejak jam 4 petang hingga 12 malam itu telah melibatkan seramai 44 pegawai kanan dan 368 orang anggota yang terdiri daripada PDRM Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Negeri Selangor.

SAC Fadzil Ahmat juga menegaskan bahawa operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha untuk mencegah dan membanteras kegiatan jenayah yang melibatkan warganegara asing terutamanya di negeri ini.

Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan siasatan lanjut.

=EZY=