Categories
SELANGOR

Program Pembangunan Usahawan PKNS lahir usahawan berjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Program pembangunan usahawan dijalankan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah melahirkan ramai usahawan berjaya di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata melalui pelbagai program dilaksanakan, anak syarikat Kerajaan Negeri itu membuka ruang besar kepada golongan usahawan di negeri itu bagi memajukan diri dalam perniagaan diceburi.

“Di bawah PKNS, program pembangunan usahawan telah digerakkan sejak puluhan tahun lalu dengan berjaya menghimpunkan lebih 6,000 alumni dan mereka bergerak di seluruh Selangor dalam pelbagai bidang perniagaan diceburi.

“Ini diteruskan lagi PKNS melalui Bahagian Pembangunan Usahawannya dengan mengetengahkan usahawan berjaya bagi memberi bimbingan dalam prorgram keusahawanan dirancang,” katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Pinjaman HIJRAH Selangor di Kompleks PKND di sini, hari ini.

IMG_20170916_115634Beliau berkata, PKNS turut mengorak langkah melalui program bantuan khususnya untuk usahawan bumiputera dengan memberikan bantuan khidmat nasihat serta ruang niaga dengan potongan harga di Seksyen 7 Shah Alam, kepada kumpulan usahawan muda yang baru memulakan perniagaan.

Program HIJRAH dijalankan di Kompleks PKNS, katanya, adalah sebahagian daripada program pembangunan usahawan dilaksanakan PKNS.

“Melaluinya ia menempatkan usahawan HIJRAH termasuk kalangan asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor atau Majlis Agama Islam Selangor di sini sekali gus memberi ruang bagi mempromosikan produk juga perkhidmatan ditawarkan mereka,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketuaa Pegawai Eksekutif HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Mohd Hilmi Muda dan Pengurus Pembangunan Usahawan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Fasihah Mat Radzi dan hadirin lain.

=EZY=