Categories
SELANGOR

Pusat Kajian Maqasid IDE sesuai saranan Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Institut Darul Ehsan (IDE) menubuhkan Pusat Kajian Maqasid Shari’ah dalam menggerakkan kajian dan mengangkatnya sebagai asas penggubalan dasar Kerajaan Negeri.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato’ Kamarudin Jaafar berkata, ia bersesuaian dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menyentuh perkara itu dalam Istiadat Pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 2015.

“Bersesuaian semangat titah diraja itu, IDE berhasrat melakukan kajian intensif berkenaannya dengan objektif utama menbantu Kerajaan Negeri mengaplikasi al-maqasid dalam perumusan dan pelaksanaan dasar pentadbiran.

“Selain itu, ia meratakan kesedaran berhubung al-maqasid dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat, pembuat dasar, pentadbir, pendidik, pemimpin masyarakat dan massa rakyat,” katanya ketika Muzakarah Pakar Maqasid al-Shari’ah 2017 anjuran IDE, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi inisiatif dan usaha berterusan Pusat Kajian Maqasid al-Shari’ah IDE, beberapa program juga aktiviti ilmiah bagi membincangkan aspek itu secara mendalam dilaksanakan.

Kamarudin berkata, seminar dan bengkel secara berkala berkenaannya dianjurkan dengan dihadiri kelomppok berkaitan dan IDE berhasrat meneruskan usaha merakyatkannya menerusi pelbagai perancangan menyeluruh serta bersifat jangka masa pendek juga panjang.

“Asas kepada penubuhan IDE sendiri mewujudkan masyarakat berteraskan keilmuan dengan misi pencerahan dan pencerdasan masyarakat.

“Justeru, IDE sentiasa menggerakkan program keilmuan, pendidikan, pencerahan dan pencerdasan rakyat serta masyarakat,” katanya mengambil contoh penubuhan Pusat Kajian Pembinaan Bangsa IDE bagi menyantuni isu berkaitan masyarakat majmuk, perpaduan dan kepelbagaian masyarakat unik dalam satu bingkai kesatuan sebagai warganegara.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shari’ah 2017 bertemakan “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dan dihadiri Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil serta hadirin lain.