Categories
NASIONAL

OKU jalan kaki 51 hari bawa misi Selamatkan Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 SEPT: Kempen jelajah berjalan kaki selama 51 hari sambil berpuasa oleh Isaiah Jacob akan bermula, pada 20 Oktober ini mengambil kira keadaan beberapa negeri yang sedang dilanda banjir.

Isaiah, 51, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkata, jelajah membawa misi Selamatkan Malaysia dan Bebaskan Anwar itu akan bermula di Pulau Pinang melalui beberapa negeri, termasuk Perlis dan Kedah sebelum berakhir di Kuala Lumpur, pada 9 Disember ini.

“Dalam sidang media sebelum ini, saya umumkan program dimulakan, pada 20 September tetapi kita dapat banyak maklum balas daripada rakan di utara berhubung banjir dan mereka minta tangguhkan.

“Dalam perjalanan ini saya akan minum sahaja, tidak makan. Pada masa ini, saya sudah cukup bersedia ditambah mempunyai pengalaman berjalan dari Dataran Merdeka ke Kuantan ketika membantah isu Lynas, sebelum ini.

“Kalau saya seorang OKU boleh mainkan peranan, rakyat Malaysia lain juga boleh selamatkan Malaysia untuk elak anak cucu kita jadi mangsa kekejaman Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad, di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Isaiah berkata, rakyat Malaysia perlu mencontohi semangat dimiliki OKU sepertinya dalam memainkan peranan masing-masing demi kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang.

Katanya, beliau akan memulakan perjalanan di Kepala Batas sebelum dijangka tiba di Permatang Pauh, pada sebelah malam untuk majlis pelancaran dengan melalui Bagan dan Bukit Mertajam.

“Perjalanan saya bersama kira-kira empat rakan lain akan berakhir, pada program Perhimpunan Rakyat, di Kuala Lumpur, pada 9 Disember ini,” katanya.