Categories
GLOBAL NASIONAL

Rohingya: Putrajaya digesa lebih tegas terhadap Myanmar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Putrajaya digesa memberi tekanan lebih keras terhadap Myanmar dalam usaha meleraikan konflik kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara tindakan boleh dikenakan termasuk sekatan perdagangan terutama ke atas barangan pengguna dan bahan bakar.

Katanya, pendirian Putrajaya untuk bersikap retorik ketika ini hanya mendorong kepada kegagalan mencadangkan strategi penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh.

wan-azizah“Pada masa sama, ASEAN juga perlu memainkan peranan lebih proaktif. Tiada makna wujudnya kesepakatan ekonomi serantau seperti Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) jika negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga, di wilayah sendiri.

“Terutama apabila kezaliman itu mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau ASEAN dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, seramai 270,000 etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri daripada wilayah Rakhine di Myanmar ke Bangladesh.

Media antarabangsa melaporkan kebanyakan kampung yang diserang askar Myanmar menampakkan kesan ‘pembunuhan etnik’.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN berkata, Yangon terbukti tidak mengendahkan sebarang saranan dan kecaman masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya.

“Mereka terus angkuh menindas dan menzalimi kumpulan etnik berkenaan. Pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi juga gagal menunjukkan keprihatinan dan simpati terhadap etnik Rohingya dalam krisis kemanusiaan ini,” katanya.