Categories
KENYATAAN MEDIA

Rohingya selamat, Myanmar sejahtera

Semangat kesukanan dan kemeriahan sempena 29th Southeast Asian Games @ Kuala Lumpur 2017, yang sepatutnya melambangkan persahabatan, keamanan, kesejahteraan negara-negara ASEAN telah dicemari oleh tindakan ketenteraan kerajaan Myanmar di Wilayah Arakan @ Rakhine.

Alasan tindakan ketenteraan adalah untuk menghapus kumpulan mujahideen Rohingya yang telah menyerang pasukan keselamatan.

Kita memahami, sebuah negara berdaulat seperti Myanmar mempunyai hak untuk menghalang sebarang ancaman keselamatan terhadap negara tanpa kompromi. Apa yang dikesali ialah tindakan ketenteraan tersebut adalah melampau dan agresif dan telah menyebabkan etnik awam Rohingya dibunuh, disiksa dan menjadi pelarian.

Menurut kenyataan media daripada pertubuhan Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) yang telah berpengalaman mengendalikan klinik dan banyak aktiviti kebajikan kepada pelarian Rohingya bersama rakan-rakan bersekutunya, terdapat antara 300 hingga 3000 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang dilaporkan telah dibunuh dalam beberapa minggu lalu. Selain itu, dalam anggaran 10,000 buah rumah dan kedai dibakar oleh tentera Burma.

Ramai wanita dan kanak-kanak juga dilaporkan lemas ketika cuba menyeberang Sungai Naaf untuk memasuki Bangladesh.

Setiausaha Agung PBB pada 1 September lalu telah menuntut dihentikan segera penindasan terhadap kemanusiaan ini di Rakhine ini.

Kami berkeyakinan, kerajaan moden dan demokratik Myanmar, pimpinan pemenang hadiah Nobel, Daw Ang San Su Kyi turut berhasrat untuk mensejahterakan Myanmar dan menyelamatkan Rohingya.

Mungkin beliau mewarisi sebuah negara tanpa sumber yang mencukupi kerana ditadbir bekas junta tentera selama hampir 50 tahun. Ramai yang percaya pengaruh tenterĂ  masih kuat di sana. Beliau memerlukan masa, tenaga serta sumber yang maksimum untuk membina kembali negaranya ke landasan demokratik tulen.

Walau apapun warna kulit dan agama yang menjadi pegangan rakyat Rohingya, mereka adalah juga manusia seperti orang lain di bumi ini. Pelanggaran terhadap hak-hak asasi Rohingya sewajarnya dan sewajibnya ditamatkan dengan serta-merta tanpa alasan.

Justeru itu, bagi meredakan ketegangan di wilayah Rakhine, kami ingin menyarankan tindakan-tindakan segera seperti berikut:

1. Semua pihak sama ada dari dalam atau luar negara hendaklah memberi peluang kepada Daw Ang San Su Kyi untuk membina Myanmar Baru yang memberi keadilan dan kebajikan asas yang diperlukan oleh penduduknya. Tekanan antarabangsa kepada beliau khususnya, diharap dapat membuat beliau menghentikan pembunuhan dan pembulian itu serta merta.

2. Semua pihak sama ada tentera atau kumpulan bersenjata Rohingya (jika ada) hendaklah segera menghentikan tindakan bersenjata dan memilih perundingan sebagai jalan untuk kesejahteraan dan kestabilan di Rakhine.

3. Membentuk pakatan ketenteraan ASEAN dengan semangat ASEAN yang berkecuali bagi membantu Myanmar menjaga keselamatan khusus di Rakhine dalam tempoh tertentu.

4. Menghentikan segala pelanggaran hak asasi kemanusiaan Rohingya dan pemberontakan bersenjata dengan segera.

Sesungguhnya menghalau rakyat Rohingya dari Myanmar bukanlah tindakan yang bijak. Ia adalah seumpama menghalau penduduk New York di Amerika Syarikat supaya pulang ke England. Ketabahan, keikhlasan dan jati diri Rohingya sewajarnya digembleng untuk sama-sama membangunkan negara Myanmar Baru yang demokratik dan bertamadun.

Kami juga menyeru dan menyarankan agar Kerajaan Malaysia dan Bangladesh, yang terkesan secara langsung dengan kejadian ini, dan negara-negara ASEAN amnya, hendaklah segera mengambil tindakan diplomatik dengan mengadakan perbincangan dan membuat tindakan yang sewajarnya bagi menamatkan penderitaan etnik Rohingya buat selama-lamanya.

*UST HASANUDDIN YUNUS*
Parti Amanah Negara (AMANAH)

*YB ZAIRIL KHIR JOHARI*
Parti Tindakan Demokrasi (DAP)

*YB MANIVANAN GOWIN*
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)