Categories
AGAMA BERITA UTAMA NASIONAL

Rujuk enakmen keluarga Islam anak tak sah taraf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Isu berkenaan kesahtarafan anak di negara ini perlu sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan bersama mufti bagi membincangkan isu anak tidak sah taraf, pada 21 Ogos lalu.

Katanya, pertemuan itu dihadiri mufti Selangor, Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, timbalan mufti Wilayah Persekutuan dan wakil mufti Sarawak.

“Keputusan itu turut membabitkan wakil dari Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri yang hadir pada pertemuan diaturkan JAKIM untuk menzahirkan kesepakatan bersama dalam isu kesahtarafan anak.

“Peruntukan undang-undang ini selaras fatwa diwartakan di negeri berkenaan dengan kesahtarafan anak dan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-57, pada 10 Jun 2003,” katanya dalam kenyataan.

Othman-MustaphaBeliau berkata, Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri antara lain memperuntukkan seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki.

“Dan melahirkan seorang anak lebih dari enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam tempoh empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan, sama ada sebab kematian lelaki itu atau perceraian.

“Perempuan itu pula tidak berkahwin semula, justeru lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak berkenaan sebagai anaknya di hadapan mahkamah,” katanya.

Julai lalu, Mahkamah Rayuan menyatakan anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah, layak di sisi undang-undang berbinkan nama bapanya.

Susulan itu, Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Jabatan Peguam Negara menfailkan rayuan berhubung keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.