Categories
EKONOMI

SchAwal Store pilih Jakel Square

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Memilih Jakel Square sebagai lokasi pertama butik mereka, jenama pakaian SchAwal kini dibuka untuk pembeli dan peminat mereka.

Pasangan suami isteri itu turut memiliki lebih 50 koleksi pakaian hasil rekaan mereka sendiri sekaligus memberi makna untuk bersedia lebih serius dalam bidang perniagaan.

Selain memastikan setiap pakaian yang dijual sesuai dengan fesyen terkini, jenama SchAwal menitikberatkan potongan dan kualiti kain dalam setiap rekaan.

Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari berkata, beliau dan isterinya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya atau Scha AlYahya terbabit secara langsung dalam rekaan serta pemilihan kain hasil dari minat dan kecenderungan dalam bidang fesyen.

SchAwal 3“Rekaan kami lebih menumpukan kepada pakaian kasual. Untuk Scha sendiri, dia sangat mementingkan kesesuaian setiap fesyen untuk mereka yang bertudung juga,” katanya di Majlis Pelancaran Butik Pertama mereka di Jakel Mall, baru-baru ini.

Selain itu, jenama itu turut menampilkan koleksi pakaian eksklusif kanak-kanak dengan menjadikan anak mereka, Lara Alana sebagai inspirasi kepada setiap rekaan.

“Tidak sekadar menyediakan fesyen terkini, melalui SchAwal store, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai lagi produk yang dikeluarkan antaranya aksesori yang melengkapkan lagi penampilan pelanggan jenama ini,” katanya.

Untuk memenuhi permintaan pelanggan dan peminat yang berada di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, mereka boleh membeli barangan secara online di www.schawal.com.

Sementara itu, Scha dan Awal juga turut melancarkan dua wangian terbaru iaitu Noir dan Silver Rose yang didatangkan khas dari Sepanyol.

Noir mempertaruhkan bau musky ditambah dengan kandungan citrus dijangka memberikan bauan segar dan menyerlahkan kelelakian kepada si pemakai.

SchAwal 2Manakala, Silver Rose pula tampil manis dengan haruman segar bunga dan suntikan lemon.

“Noir wangian khusus untuk lelaki dengan bau yang lebih maskulin manakala Silver Rose tampil manis dengan bunga-bungaan segar untuk golongan wanita.

“Lelaki cenderung memilih bauan yang agak macho dan ini lah wangian yang akan disukai semua,” katanya.

Minyak wangi Noir dan Silver Rose dijual pada harga RM49, manakala butik SchAwal menjual pelbagai koleksi yang trendy pada harga RM89 hingga RM289.