Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tahfiz terbakar: DYMM Sultan Selangor rakam takziah

SHAH ALAM, 14 SEPT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan ucapan takziah atas insiden kebakaran yang mengorbankan 23 pelajar Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, di ibu negara, awal pagi tadi.

Baginda menerusi perutusan dikeluarkan Istana Mestika Shah Alam turut berdukacita atas kejadian terbabit yang disifatkan sebagai menyayat hati.

“Beta berasa amat sedih dan dukacita dengan makluman berita bahawa berlakunya kehilangan nyawa membabitkan pelajar Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah dalam satu tragedi kebakaran yang amat menyayat hati.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah dan semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” titah baginda.

Terdahulu, kebakaran di pusat tahfiz terbabit turut mengorbankan dua tenaga pengajarnya, sementara
empat dilaporkan cedera parah dan tiga lagi mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak pagi tadi.