Categories
GLOBAL

Telur tercemar ditemui di 40 negara

FRANKFURT 6 SEPT: Telur dicemari racun serangga fipronil ditemui di 40 negara termasuk 24 daripada 28 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman DPA hari ini tanpa memetik sumber.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jutaan telur ditarik balik dari pasaran di Eropah walaupun sesetengah pengawal selia kebangsaan menyuarakan kebimbangan banyak telur tercemar sudah memasuki rangkaian makanan, terutama menerusi produk proses seperti biskut, kek dan salad.

DPA berkata, mesyuarat Menteri Pertanian EU di Tallinn, Estonia, dijangka membincangkan skandal telur terbabit.

DPA berkata, jurucakap Suruhanjaya Eropah mengesahkan negara anggota EU yang tidak terjejas setakat ini adalah Lithuania, Portugal, Cyprus dan Croatia.

EggNegara bukan EU di mana telur tercemar ditemui termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia, Afrika Selatan dan Turki.

Pihak berkuasa Belanda dan Belgium mengesan sumber racun serangga itu menerusi pembekal produk pembersihan di Netherlands.

Dua lelaki Belanda yang mengendalikan syarikat pembersihan Chickfriend ditahan bulan lalu.

Walaupun seseorang individu perlu mengambil sejumlah besar telur tercemar untuk menjejaskan kesihatan, fipronil dianggap memiliki tahap ketoksikan sederhana dan boleh menyebabkan kerosakan organ di kalangan manusia.

Ia secara meluas digunakan untuk merawat haiwan peliharaan yang terkena kutu namun penggunaannya dalam rangkaian makanan sebagai contoh membersihkan bangsal, dilarang.

=EZY=