Categories
KENYATAAN MEDIA

Tumpaskan segera sindiket ‘Macau Scam’

Terbaru, sebanyak 694 kes penipuan Macau Scam direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga Ogos lalu.

Dikatakan ratusan penipuan panggilan telefon atau dikenali sebagai ‘Macau Scam’ telah dilaporkan. Sindiket ini menggunakan pelbagai modus operandi menipu mangsa bagi tujuan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.

Sindiket ini begitu licik apabila menyamar sebagai pegawai bank, polis dan mahkamah atau pegawai daripada syarikat pengutip hutang.

Persoalannya, mengapa masih ramai rakyat di negara ini masih tidak mampu melepaskan diri daripada unsur penipuan seperti ini? Apakah orang ramai masih belum mampu memahami dan membezakan antara urusan dan transaksi yang betul dan salah.

Saya juga suka mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mendapat panggilan dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan akaun bank.

Besarlah harapan kiranya di samping pihak berkuasa terus bertindak membanteras kegiatan licik sindiket ini, kita juga mahukan orang ramai turut memainkan peranan yang sewajarnya untuk menangani kes penipuan ‘Macau Scam’ ini.

Kegiatan penipuan merupakan satu perkara yang serius kerana ia secara tidak langsung akan mencemarkan nama baik negara.

YB Chang Lih Kang
ADUN Teja
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN