Categories
AGENDA NASIONAL

Dua wanita warga emas rugi RM390,500 diperdaya Macau Scam

KEPALA BATAS, 9 MAC: Dua wanita warga emas kerugian sebanyak RM390,500 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya mereka terlibat dalam kegiatan rasuah dan dadah, dalam kejadian berasingan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata kedua-dua mangsa yang berusia 60-an dan merupakan pesara itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu Isnin lepas setelah mendapati wang dalam akaun bank mereka telah dikeluarkan secara berperingkat melalui transaksi pindahan wang.

“Dalam kejadian pertama, mangsa kerugian sebanyak RM148,000 dan dia mendakwa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai pendakwa raya yang kononnya mangsa terlibat dalam kes rasuah serta pengubahan wang haram sebelum meminta mangsa memberi kerjasama jika tidak mahu ditangkap.

“Suspek mengarahkan wanita itu membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke akaun tersebut bagi tujuan siasatan serta mengelak wang tersebut dirampas, mangsa yang takut telah mengikut segala arahan dengan memindahkan wang simpanannya sebelum memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu yang merupakan pesara hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas mendapati semua wang simpanan sebanyak RM148,000 yang telah dipindahkan ke akaun baharunya dikeluarkan secara berperingkat sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata seorang lagi wanita kerugian RM242,500 selepas dihubungi seorang lelaki mendakwa sebagai ejen insurans dan memaklumkan mangsa kononnya terlibat dalam kes tuntutan palsu insurans serta dadah.

Katanya, suspek mengarahkan mangsa untuk mengaktifkan semula satu akaun bank miliknya dengan memasukkan RM280,000 sebagai wang jaminan bagi mengelak ditangkap dan wanita itu yang takut telah bertindak memindahkan wang simpanan dan pinjaman sebanyak RM242,500 ke akaun tersebut sebelum memberikan maklumat perbankan kepada lelaki berkenaan.

“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas cuba memasukkan baki wang jaminan sebanyak RM37,500 yang dipinjam daripada ahli keluarganya ke dalam akaun baharu itu, namun mendapati kesemua RM242,500 telah dikeluarkan melalui transaksi pindahan wang sebelum wanita itu tampil membuat laporkan polis,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai agensi kerajaan mahupun swasta berhubung kesalahan jenayah serta membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Suri rumah hilang simpanan Tabung Haji ditipu sindiket dalam talian

SIBU, 19 JAN: Seorang suri rumah di sebuah perkampungan nelayan di Igan, Bahagian Mukah dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sibu semalam, selepas mengalami kerugian lebih RM87,000 yang termasuk wang simpanannya dalam Tabung Haji, apabila menjadi mangsa terbaru Macau Scam baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam kenyataan semalam berkata ia bermula apabila suri rumah berumur 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita bernama ‘Mastura’ yang kononnya mendakwa nama suri rumah itu digunakan untuk membuat tuntutan insurans RM76,000.

Beliau berkata suri rumah itu percaya kononnya bagi menangguhkan “waran tangkap” dan mengelak akaun dibekukan, dia diminta membuka akaun baharu di samping turut diminta menyerahkan maklumat mengenai akaun berkenaan serta akaun Tabung Hajinya.

Katanya wanita itu kemudiannya diarahkan membuat lima transaksi tunai ke akaun berkenaan dari tempoh 13 Dis hingga 4 Jan lepas melibatkan jumlah keseluruhannya RM61,000.

Menurutnya wanita itu sedar ditipu hanya selepas membuat semakan baki di akaun bank berkenaan dan mendapati RM61,000 telah lesap, manakala wang RM26,138 dalam akaun Tabung Haji juga telah tiada.

Collin berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan tipu helah apabila dihubungi orang tidak dikenali, yang mengaku kononnya pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara swasta rugi RM1.3 juta diperdaya ‘pegawai bank’

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM1.3 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank, awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia bermula apabila wanita berusia 60 tahun itu menerima panggilan yang mendakwa kononnya kad kredit miliknya telah membuat pembelian bitcoin di laman web sosial.

Beliau berkata wanita itu menafikan perkara berkenaan dan telah memberikan maklumat peribadinya kepada pemanggil yang mengaku sebagai wakil Bank Negara untuk membantunya membuat laporan polis.

“Wanita itu kemudiannya menerima salinan ‘laporan polis’ kira-kira pukul 9.02 pagi keesokan harinya melalui WhatsApp dan diminta untuk memberikan semua maklumat akaun bank, kononnya bagi tujuan memperbaharui akaun.

“Pada 10 Mei lepas, wanita itu membuat semakan dengan Bank Negara dan dimaklumkan panggilan yang diterimanya adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata semakan mendapati wanita itu telah mendedahkan maklumat mengenai tujuh akaun banknya kepada pemanggil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket Macau Scam, judi dalam talian aktif sekitar KL tumpas

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Polis berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, selepas 11 individu ditahan termasuk empat warga China dalam tiga serbuan sekitar ibu negara pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pertama kira-kira 3.30 petang itu, tiga lelaki warga China berusia 28 hingga 34 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Doraisamy, Off Jalan Sultan Ismail di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 40 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, wang tunai negara China berjumlah 1,168 yuen (RM725) dan wang tunai kira-kira RM5,011.

“Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan iaitu Macau Scam dan kesemua mereka direman empat hari sehingga 25 Disember untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Zainal berkata dua serbuan seterusnya dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah residen di Jalan Conlay dekat sini.

Menurutnya, dalam serbuan di sebuah bilik di residen tersebut kira-kira 5.30 petang, pihaknya menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun, yang disyaki terbabit dalam judi dalam talian dan kini ditahan reman sehingga 25 Disember.

Katanya, setengah jam kemudian, pihaknya menyerbu sebuah bilik di residen yang sama dan menahan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing dari Thailand dan Vietnam, berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis menemui antaranya daun terup, kertas catitan perjudian dan wang tunai RM23,200. Kesemua mereka direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Imigresen: Penjenayah warga asing diisytihar ‘persona non grata’

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai ‘persona non grata,’ kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata warga asing terbabit akan disenaraikan sebagai persona non grata selepas mereka menjalani hukuman dan diusir dari negara ini.

“Selepas mereka menjalani hukuman penjara akibat kesalahan jenayah, mereka akan diusir dan disenaraikan sebagai imigran larangan daripada memasuki Malaysia.

“Itulah keputusannya untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen (1959) tanpa mengira jenis pas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

Turut senada dengan Khairul Dzaimee ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berkata langkah mengisytiharkan penjenayah warga asing sebagai persona non grata merupakan antara cara berkesan bagi mengekang kegiatan jenayah terutama Sindiket Macau Scam.

“Sindiket Macau Scam di negara ini semakin berleluasa dengan ramai mangsa tertipu melibatkan kerugian jutaan ringgit yang dilakukan warga China.

“Baru-Baru ini, saya ada berbincang dengan beliau (Khairul Dzaimee) berhubung perkara ini dan kuasa untuk mengisytiharkan persona non grata terletak kepada Imigresen untuk melaksanakannya,” katanya ketika kunjungan hormat Bernama ke pejabat beliau di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata warga China paling takut disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia kerana mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan kegiatan jenayah malah bakal berdepan hukuman berat di negara asal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Hampir 1,000 ditahan terlibat ‘Macau Scam’ sehingga Okt

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 993 individu ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini
selepas terlibat dalam kegiatan ‘Macau Scam’.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata tangkapan pada 1 Januari hingga 31
Oktober itu melibatkan 912 warga tempatan dan 81 rakyat asing.

“Pertuduhan yang dibuat berkaitan kes Macau Scam ini ialah 605 orang,” katanya menjawab
soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai jumlah kes penipuan Macau
Scam serta peringkat umur penjenayah yang terlibat pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari
ini.

Beliau berkata pada masa ini, belum ada kajian mengenai umur mereka yang terlibat dalam
kegiatan itu dan pihak Kementerian Dalam Negeri akan membuat penelitian berhubung perkara
berkenaan.

Dalam pada itu, Jonathan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan
pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank
Negara Malaysia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan untuk membanteras jenayah
penipuan dalam talian.

Selain itu, katanya sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada PDRM
dan SKMM telah ditubuhkan pada Mac 2019 bagi tujuan sama.

Beliau berkata di peringkat dalaman PDRM pula, satu Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi
mengenal pasti dan memantau trend terkini kes jenayah dalam talian serta bekerjasama dengan
agensi seperti SKMM yang membantu dari segi kepakaran dan teknologi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Macau Scam: Suspek lari lompat pagar SPRM ditangkap, reman di KL

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis menahan seorang suspek lelaki disyaki terlibat sindiket Macau Scam dan perjudian secara dalam talian yang melarikan diri selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata suspek berkenaan ditahan di sebuah hotel peranginan di luar kawasan Lembah Klang.

Beliau berkata operasi mengesan suspek dibuat susulan tindakan dia melarikan diri dari badan pencegah rasuah berkenaan pada 11 Oktober lepas.

“Suspek ditahan oleh pasukan JSJ Bukit Aman bersama dengan seorang wanita berikutan penglibatannya dalam sindiket berkenaan.

“Kedua-dua mereka kini ditahan dan akan direman di Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu pada 13 Oktober lepas, Bernama melaporkan SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Berikutan itu, pada 16 Oktober lepas, polis mendedahkan butiran suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya lagi, suspek merupakan koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Sindiket tipu, ‘cuci duit’: Apa tindakan kita?

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Mutakhir ini, semakin menjadi-jadi kes penipuan Macau Scam yang melibatkan bukan sahaja warga tua sebagai mangsa, malah orang muda juga turut terbelit dengan perangkap sindiket dan kerugian ada yang mencecah jutaan ringgit.

Mengambil contoh kes di Petaling Jaya yang dilaporkan pada 9 Oktober, seorang pengurus agensi perbankan kerugian hampir RM2 juta ditipu sindiket Macau Scam ini.

Liciknya modus operandi (MO) ini apabila seorang wanita menyamar sebagai ‘pegawai polis’ menghubungi pengurus itu pada petang 5 Mei dan menyakinkan mangsa terbabit dengan kes langgar lari yang menyebabkan kematian. Beliau juga didakwa mempunyai rekod kes pengubahan wang haram.

Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapati semua wang yang dipindahkannya ke dalam akaun bank baharu seperti yang diarahkan ‘pegawai polis’ itu lesap begitu sahaja.

Kes yang sama juga dilaporkan berlaku di Kajang baru-baru ini, apabila seorang guru wanita berusia 49 tahun kerugian hampir RM1.13 juta selepas terpedaya dengan panggilan daripada individu, menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa diminta membuat dua akaun bank dan memasukkan sejumlah wang yang diminta ke dalam akaun berkenaannya. Apabila mendapati dirinya tertipu, guru itu segera membuat laporan polis. Bagaimanapun, wang lebih sejuta itu sudah lesap dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Penipuan Telekomunikasi

Mengakui sebenarnya semua orang mudah terdedah kepada pelbagai jenis scam termasuklah Macau Scam, Pakar Kriminologi & Psikologi Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, terdapat pelbagai faktor yang memungkinkan orang ramai tidak menyedari mereka diperdaya permainan licik sindiket ini.

“Perlu kita faham Macau Scam dikategorikan sebagai satu jenayah penipuan telekomunikasi. Scammer berusaha membuat penampilan sebagai pegawai yang mempunyai autoriti, serta mampu menimbulkan rasa was-was, panik, dan keinginan terhadap mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Sementara faktor orang kita mudah tertipu dengan sindiket ini ialah kerana kewibawaan dan kesahihan yang ditunjukkan oleh penipu dengan menggunakan aspek tindak balas viseral yang membuatkan mangsa bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu, pemerasan, tekanan, keserakahan, kelalaian, kenaifan, dan paksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pensyarah Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM) itu itu menambah, sikap tidak peduli orang ramai untuk mengetahui kehalusan pancingan scammer juga boleh menjadi salah satu faktor penyumbang.

Beliau menjelaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2017 menghuraikan empat MO Macau Scam iaitu lucky draw, authority spoofing (menyamar sebagai pegawai polis atau penjawat awam), bank spoofing (menyamar sebagai pegawai bank), dan menyamar sebagai penculik.

Namun, hasil kajian lepas dan laporan rasmi dari luar Malaysia pula menunjukkan MO serta fenomena Macau Scam ini lebih luas.

Dalam usaha memberi pendidikan kepada orang ramai tentang bahaya penipuan sindiket ini, beliau menegaskan supaya orang ramai jangan lalai dan memberi kebenaran tacit (diam/tunduk patuh) kepada sindiket dengan mendedahkan maklumat peribadi terutamanya nombor akaun bank; serta kegagalan untuk mengemas kini atau mengubah keselamatan pada komputer peribadi dan laman web urus niaga kewangan perlulah dijauhi.

“Orang ramai juga boleh menggunakan portal dan aplikasi semakan akaun penipu yang dibangunkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) PDRM iaitu Semak Mule. Ini satu ikhtiar yang bernas,” tambahnya.

Keruntuhan Nilai Integriti

Selain isu Macau Scam, wujud juga satu isu lain yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat iaitu kegiatan pengubahan wang haram ataupun dipanggil kegiatan ‘mencuci duit’.

Dilaporkan ada beberapa individu daripada kalangan pegawai penguat kuasa yang sanggup ‘mengotorkan tangan’ dengan turut terlibat dalam sindiket ini. Perkara ini sudah tentunya sukar untuk kita terima!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan PDRM serta merampas wang tunai RM100,000 berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam. Difahamkan pegawai terbabit ditahan kerana dipercayai melindungi sindiket tersebut selama ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya juga menyita 730 akaun bernilai RM80 juta milik ahli sindiket yang ditahan termasuk selebriti. Turut disita sebanyak 24 buah kenderaan mewah bagi tujuan siasatan.

Turut dilaporkan, dalang utama sindiket dipercayai rakyat China, tetapi beroperasi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘mencuci’ wang hasil penipuan itu. Turut dibongkar beratus-ratus syarikat dummy sengaja diwujudkan bagi menyalurkan dan ‘mencuci’ wang haram itu.

Peguam Cara dan Peguam Bela di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Nor Zabetha Muhd Nor ketika diminta mengulas perkara ini berkata, amatlah tidak wajar mereka yang memiliki kad penguat kuasa menyalahguna kuasa yang mereka ada.

“Salah laku yang boleh merosakkan integriti dan nama baik badan pelaksana undang-undang itu sendiri. Isu ketirisan integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai penguat kuasa semakin membimbangkan. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan pegawai terbabit ini sebenarnya membantu menyembunyikan aktiviti ini, dan mereka ini boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Merujuk kepada kes ini, mungkin pegawai yang ditangkap ini disyaki banyak membantu sindiket dengan memberi segala maklumat yang diperlukan, selain menyalahguna kuasa yang mereka ada serta dibayar pula ganjaran oleh sindiket terbabit kerana melindungi kegiatan mereka. Namun sama ada mereka bersalah atau tidak adalah bergantung kepada hasil akhir siasatan nanti,” jelasnya ketika ditemui di firmanya, baru-baru ini.

Pertingkat Pelaksanaan Tindakan

Nor Zabetha menegaskan, perkara paling utama sekarang adalah untuk mempertingkatkan peratusan pelaksanaan tindakan terhadap laporan yang diterima pihak berkuasa, supaya ianya selari dengan jumlah laporan yang diterima.

“Secara peribadi, saya melihat undang-undang dan hukuman sedia ada melibatkan isu ini sudah mantap, namun kadar peratusan pelaksanaannya yang dilihat agak rendah. Apabila semakin banyak siasatan, tindakan dan paling utama ada hukuman yang dikenakan kepada pelaku oleh pihak berkuasa dijalankan akan menjadikan penjenayah lebih takut.

“Di Malaysia, bukan sahaja kes penipuan Macau Scam tetapi jenis-jenis penipuan lain, malahan ada yang dilaporkan jutaan ringgit wang penipuan yang dikumpulkan oleh penjenayah. Namun kita dapat lihat ada di antaranya, tiada tangkapan atau hukuman penjara menyebabkan penjenayah semakin berani untuk melakukan aktiviti penipuan kerana memikirkan mereka mungkin bebas dan lepas tanpa sebarang tindakan,” jelasnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Warga emas berputih mata, rugi lebih RM1 juta

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Berputih mata, itulah yang berlaku pada seorang warga emas di Petaling Jaya yang menjadi mangsa sindiket penipuan ‘Macau scam’ selepas mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Wanita berusia 71 tahun itu, menerima panggilan daripada sebuah syarikat penghantaran mengatakan terdapat bungkusan dihantar dari Kepong ke Kota Kinabalu, Sabah yang menggunakan kad pengenalan dan kad bank atas namanya pada 25 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki bernama Sarjan Chong Sin Han yang mendakwa dirinya seorang anggota polis dari balai polis di Sabah.

“Mangsa diberitahu yang dia terbabit dengan sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan butiran peribadinya dipercayai digunakan seorang lelaki yang juga bekas pengurus bank yang telah ditangkap.

“Oleh sebab takut ditahan, mangsa terpaksa mengikuti segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke 10 akaun syarikat yang berbeza berjumlah RM1,069,800 secara berperingkat pada 15 Jun hingga 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata usaha mengesan saki-baki suspek terlibat sedang diburu manakala sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat mengenai jenayah siber.

“Polis nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang diterima mana-mana pihak dan segera menghubungi polis jika menerima panggilan-panggilan telefon sebegini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pensyarah dakwa rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket

KUANTAN, 25 JULAI: Seorang pensyarah wanita di Maran dekat sini membuat laporan polis mendakwa dirinya kerugian RM325,00 yang turut merangkumi pinjaman bank selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Ogos tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 41 tahun itu mendakwa mula dihubungi seorang lelaki pada awal Ogos tahun lepas, kononnya kakitangan Mahkamah Perlis berhubung perbicaraan kes langgar lari.

Mangsa yang menafikan terbabit dalam ‘kes’ tersebut kemudian disambung ke balai polis dan suspek kedua menakut-nakutkan mangsa bahawa dirinya berdepan hukuman gantung sampai mati kerana terlibat dalam sindiket dadah dan pengubahan wang haram menyebabkan mangsa terus panik.

“Suspek juga mendakwa sebuah kereta peronda polis dalam perjalanan untuk menangkap mangsa menyebabkan wanita itu terus merayu sebelum diarahkan bercakap pula dengan suspek ketiga kononnnya pegawai di Bukit Aman yang mengendalikan kes itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa ‘pegawai’ itu memaklumkan mereka mempunyai bukti cap jari dan rakaman kamera litar tertutup yang mengaitkan mangsa dan bagi membersihkan dirinya mangsa perlu membantu ‘siasatan’ tanpa pengetahuan individu lain.

Mangsa mendakwa diarahkan memindahkan wang simpanan berjumlah RM50,000 dan wang simpanan anaknya sebanyak RM30,000 ke akaun diberikan ‘pegawai’ itu kononnya bagi mengelakkan wang tersebut dirampas pihak berkuasa.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 pada penghujung Ogos 2019 kononnya bagi risikan perjalanan wang diikuti tiga lagi pinjaman bank melibatkan jumlah antara RM30,000 hingga RM70,000 yang kemudiannya perlu dipindahkan ke akaun diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa turut mendakwa diarahkan menjual rumah miliknya yang bernilai RM190,000 di Selangor atas alasan mengelakkan rasa curiga hartanah dibeli secara tidak sah, namun mangsa enggan menyebabkan suspek mendesak mangsa membuat pinjaman atas nilai sama.

“Suspek mendakwa jumlah itu telah ditulis dalam laporan kepada pegawai atasan dan dirinya berkemungkinan dibuang kerja jika wang itu tiada. Mangsa bagaimanapun memaklumkan bahawa namanya sudah tidak boleh membuat pinjaman kerana telah berada pada tahap maksimum yang dibenarkan,” katanya.

Setelah hampir setahun berurusan dengan suspek, mangsa akhirnya berasa curiga selepas tidak lagi menerima panggilan daripada suspek berhubung perkembangan siasatan, selain cubaan menghubungi suspek juga gagal menyebabkan dia berasa ditipu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, kira-kira 67 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Pesara dakwa simpanan RM740,000 lesap

KUANTAN, 13 JUN: Seorang pesara mendakwa simpanannya berjumlah RM740,000 lesap selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, sejak hampir empat bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 65 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah sekitar Mac lepas.

Suspek mendakwa perlu melakukan soal siasat kerana terdapat kertas siasatan mengaitkan nama mangsa yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa yang menafikan terlibat dengan kes berkenaan diarahkan berkongsi maklumat mengenai wang simpanannya menerusi panggilan telefon itu supaya tidak dirampas atau akaun banknya dibekukan sepanjang siasatan.

“Suspek didakwa memberitahu, mangsa juga perlu memindahkan wang itu ke akaun baharu dengan jaminan akan dipulangkan semula selepas tamat siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa diberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada orang lain termasuk ahli keluarga atau dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dan mendedahkan siasatan polis.

Mangsa mendakwa telah memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun bank miliknya ke akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali secara berperingkat mulai 23 Mac.

Bagaimanapun, mangsa mulai curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan status siasatan baru-baru ini kerana mahu menggunakan wang simpanannya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA