Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

200 pelajar PTRS Bangi ikuti bengkel persediaan SPM

OLEH LIZAWATI MADFA

BANGI, 23 OKT: Kira-kira 200 pelajar Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mengikuti Bengkel Pecutan Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah berkata, ia diadakan secara percuma untuk melengkapkan diri menghadapi peperiksaan penting itu.

Katanya, peluang itu seharusnya menjadi pembakar semangat untuk mereka melakukan yang terbaik bagi mencapai keputusan cemerlang.

“Diharap pelajar dapat ambil peluang ini kerana perkara percuma sukar diperoleh, pada masa ini.

“Saya sendiri tidak mendapat peluang sebegini ketika zaman menimba ilmu kerana semuanya dikenakan bayaran,” katanya.

Bertempat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), program berkenaan membabitkan peserta PTRS dari DUN Bangi, Dusun Tua, Kajang, Teratai dan Semenyih.

Shafie berkata, pelajar juga boleh menjadikan semangat juang jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai ikutan dalam mencapai kejayaan.

“Dia sudah bergelar juara dunia berkali-kali tetapi dia terus berusaha kerana itu yang dimahukannya.

“Sama juga guru hanya dapat beri tips terbaik, kaedah belajar dan sebagainya tetapi pelajarlah yang harus berusaha untuk beroleh kecemerlangan,” katanya.