Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Bawa misi serantau, UNISEL sahut saranan MB

OLEH AFEEQA AFEERA

PADANG, 13 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) terus mempergiatkan usaha mendekatkan Kerajaan Negeri dengan Indonesia menerusi pelbagai prospek, kata Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosialnya, Profesor Dr Mohd Zaidi Mohd Hajazi.

Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan sesi bertukar pandangan daripada aspek ekonomi dan hubungan sosial diwujudkan antara Selangor juga republik berkenaan.

“Hubungan Malaysia dan Indonesia itu baik, namun ada isu tersendiri dan dalam kajian, saya menekankan pentingnya hubungan sosial juga ekonomi didekatkan antara dua kerajaan ini.

“Walaupun kita dikatakan serumpun tetapi elemen sensitiviti itu tetap ada, justeru mesti wujudkan hubungan rapat antara dua aspek ini supaya persepsi negatif terbabit berkurangan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, langkah itu juga selaras saranan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu UNISEL mengekalkan hubungan serantau dengan merapatkan hubungan negeri dengan pemerintah di Padang.

“Kita lihat hubungan antara kedua negeri dan negara ini boleh didekatkan antara universiti, pensyarah dan pelajar.

“Kita mahu menjadikan universiti sebagai rumah kedua tanpa sekatan atas dasar ilmu dan pengetahuan serta penyelidikan, tanpa membabitkan elemen politik atau sensitiviti,” katanya.