Categories
GLOBAL NASIONAL

Harga minyak mentah mengukuh

SINGAPURA, 19 OKT: Kekangan bekalan berterusan diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mendorong pengukuhan harga minyak mentah dunia, hari ini.

Kenaikan itu turut disokong ketegangan di Asia Barat dan pengeluaran lebih rendah, di Amerika Syarikat (AS) ekoran penutupan bencana taufan, lapor Reuters.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras bagi harga minyak global berada pada AS$58.25 pada 0029 GMT, naik AS$0.10 atau 0.2 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) kepada AS$52.11 setong, naik AS$0.07 atau 0.1 peratus.

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) berkata, inventori minyak susut 5.7 juta tong, pada minggu 13 Oktober kepada 456.49 juta tong.

Pengeluaran AS susut 11 peratus daripada minggu sebelumnya kepada 8.4 juta tong sehari (bpd), paras terendah sejak Jun 2014 selepas beberapa pelantar minyak terpaksa ditutup ekoran Taufan Nate, yang membadai Teluk AS, pada awal Oktober.