Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia 142 tong RORO percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: Sebanyak 142 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bersaiz tiga tan disediakan secara percuma di Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20, bermula 16 Oktober lalu hingga 31 Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, tong berkenaan diletakkan di lokasi sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk membuang sampah pukal.

Katanya, ia termasuk perabot lama dan barangan elektrik seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri serta telefon bimbit.

“MBSA berhasrat memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing.

“Ia juga perperanan mendidik warga Shah Alam berkenaan pengurusan sampah pukal dengan cara betul,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Shahrin berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama meletak sampah ke dalam tong RORO disediakan dan tidak membuang ke tempat tidak sepatutnya.

“Kerjasama mereka bukan sahaja memudahkan kontraktor membuat kutipan tetapi membantu kepada persekitaran bersih dan selesa,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di talian 03-55105133 sambungan 1643 atau 1316.