Categories
SUKANKINI

Hoki Piala Asia: Malaysia tumbangkan Korea Selatan 2-1

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

DHAKA 14 OKT: Pasukan Hoki Malaysia melakar langkah bergaya apabila menewaskan pasukan Hoki Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 di Dhaka, hari ini.

Malaysia memulakan aksi garang apabila memperolehi dua gol awal menerusi
Faizal Saari pada minit ke- 17 manakala Hazri Hassan menjaringkan gol pada minit ke-19.

Korea Selatan berjaya memperolehi gol yang dicari-cari melalui Lee Seunghoon pada minit ke-26.

Kedudukan 2-1 itu berterusan sehingga tamat perlawanan dalam aksi sengit dan getir apabila kedua-dua pasukan saling menyerang.

Dengan keputusan itu sekaligus meletakkan Malaysia menempah slot ke Super 4.

Sebelum ini, Korea Selatan sudah melaungkan amaran awal untuk merebut peluang terakhir tiket Piala Dunia 2018 apabila membuka kempen dengan membelasah Oman 7-2, manakala Malaysia turut merakam kemenangan besar dengan mengalahkan China 7-1.

Selain tuan rumah India, Malaysia dan Pakistan sudah layak ke Piala Dunia 2018 yang akan diadakan di Bhubaneswar, India, dari 24 November hingga 16 Disember tahun depan.

Selain Malaysia dan Korea Selatan, kumpulan tersebut turut disertai China dan Oman, manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Pakistan, Jepun dan Bangladesh.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke kumpulan ‘Super Fours’, manakala dua pasukan terbawah dalam kumpulan akan diletakkan dalam satu kumpulan untuk menentukan kedudukan kelima hingga kelapan.

Dalam kumpulan ‘Super Fours’, pasukan akan bersaing secara liga sepusingan dengan dua pasukan teratas akan mara ke final.

=EZY=