Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib dihinggapi kleptomania dan belum berani bubar Parlimen

OLEH ERMIZI MUHAMAD/ AFIQ REDZUAN

PETALING JAYA, 14 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini disifatkan menghidap penyakit kronik bernama kleptomania, kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Kleptomania bermaksud kegagalan untuk menahan diri daripada mencuri yang biasanya bukan bertujuan peribadi.

“Satu dua hari ini saya semak kamus, rupa-rupanya ada penyakit namanya ‘kleptomaniac’,” katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata demikian Himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) berlangsung hari ini dengan mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi – bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Najib sedang tenat, beliau sebenarnya pemimpin yang sakit yang gila untuk mencuri dan merompak duit rakyat,” katanya.

Bekas pemimpin kanan PAS itu menyeru peserta himpunan agar memilih pemimpin yang lebih baik dan mampu “membina semula” Malaysia.

Pakatan Harapan sudah bersiap sedia untuk menempuh pertembungan PRU-14 kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Naib Presiden Pakatan Harapan, M Kulasekaran mendakwa Najib masih belum mendapat ‘feel good factor’ bagi mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

“Kita sudah bersedia. Cuma seorang sahaja belum iaitu Najib. Beliau belum mendapat ‘feel good factor’,” katanya.

Dianggarkan ribuan masyarakat awam hadir pada Himpunan Anti Kleptokrasi yang menyaksikan pimpinan Pakatan Harapan hadir bagi memberi pendedahan kepada umum terhadap skandal kewangan negara melibatkan pimpinan di Putrajaya.

Program yang bermula seawal jam 4 petang tadi menyaksikan penyertaan masyarakat daripada kepelbagaian agama dan bangsa dari seluruh negara, juga Sabah dan Sarawak.

Rata-rata, peserta himpunan memakai baju berwarna merah sebagai simbolik kepada kebangkitan rakyat menolak kepimpinan kleptokrasi di Putrajaya.

Mereka turut mengangkat sepanduk ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi berserta laungan Reformasi dan Bebas Kleptokrasi.

Malah, mereka turut melafazkan laungan ikrar Padang Timur yang menyatakan komitmen seluruh warga untuk menolak pentadbiran kleptokrasi.

Dalam perkembangan itu, pengisian program antaranya termasuklah pameran berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pameran karya-karya pertandingan komik ‘Sayangi Malaysia’, serta persembahan kebudayaan, dan ceramah umum daripada Pimpinan Pakatan.

Antara pimpinan yang hadir, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Pakatan Harapan yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta barisan pimpinan PAKATAN lain.

=EZY=