Categories
EKONOMI

Indeks Harga Pengeluar meningkat kepada 108.1 %

SHAH ALAM 31 OKT: Indeks Harga Pengeluar (IHP) meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun kepada 108.1 pada September berbanding 102.0 yang direkodkan pada bulan sama tahun lepas.

Namun angka itu susut 0.7 mata kepada 6.7 peratus pertumbuhan yang direkodkan pada Ogos.

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini berkata sektor yang menunjukkan peningkatan ketara termasuk perlombongan (+30.8 peratus), pembuatan (+4.7 peratus), pertanian, perhutananan dan perikanan (+1.5 peratus) serta elektrik dan bekalan gas (+1.2 peratus).

“Sementara itu, indeks bagi bekalan air susut 0.4 peratus,” katanya.

Perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan naik 1.1 peratus pada September 2017.

Kenaikan indeks ini disebabkan oleh peningkatan dalam tiga sektor pada bulan rujukan ini iaitu, Perlombongan (+10.0%), Pertanian, perhutanan & perikanan (+3.3%) dan Pembuatan (+0.2%).

Sementara itu, indeks bagi Bekalan air dan Bekalan elektrik & gas masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak (-0.8%) dan (-0.4%).

IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan naik 1.1 peratus pada bulan September 2017.

Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan dalam indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+4.2%), indeks Bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+0.5%) dan indeks Barang siap (+0.2%).

Berbanding bulan yang sama setahun lalu, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan pada September 2017 naik 6.0 peratus.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+11.0%), Bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+6.6%) dan Barang siap (+1.0%).

=EZY=