Categories
SELANGOR

Kampung Kuala Pajam muncul juara kampung tradisi

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 10 OKT: Kampung Kuala Pajam, Beranang muncul juara dalam pertandingan Kampung Tradisi Terbaik sekaligus mewakili daerah Hulu Langat di peringkat negeri Selangor.

Ketua Kampung, Mohamad Azam Murad, 42, berkata kemenangan itu tidak dijangka berikutan terdapat persaingan sengit daripada kampung-kampung lain yang bertanding.

“Saya tidak sangka kampung ini akan terpilih sebagai pemenang di peringkat daerah kerana kampung-kampung lain juga banyak keistimewaan.

“Ini merupakan kali pertama kampung ini bertanding dan terus menjuarai pertandingan,” katanya.

Kampung yang mempunyai 738 penduduk dan terletak di antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan itu sehingga kini masih mengekalkan adat tradisi nenek moyang mereka.

Dalam pertandingan tersebut, pemenang menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai RM10,000.

Tempat kedua dimenangi Kampung Sungai Machang, Semenyih dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dimenangi Kampung Batu 10, Cheras dengan hadiah wang tunai RM3,000.

Hadiah disampaikan oleh ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi Mohd Shafie Ngah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Razaly Hassan dan Pegawai Daerah Hulu Langat Zulkefli Khalid.

=EZY=