Categories
NASIONAL

KDN digesa jelas status Jho Low

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menjelaskan status kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpool bagi menjejaki ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi soalan tambahannya, pada sesi jawab lisan Dewan Rakyat, pagi ini.

Ia susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan polis masih belum mendapat maklumat terperinci berkenaan perkara itu walaupun sudah mengemukakan permintaan daripada Interpool.

“Kita amat yakin Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperoleh maklumat terperinci, namun kita yakin apa dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan sudah dimuktamadkan.

“Kita yakin kes itu tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan ahli politik yang tidak berpuas hati berkenaannya,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, PDRM boleh mendapatkan bantuan Interpool untuk menahan seseorang dan menyiasat sesuatu kes yang dinyatakan menerusi kerjasasama diwujudkan.

Malah, katanya, perkara itu dibangkitkan beberapa bulan lalu dengan PDRM perlu mendapatkan khidmat Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low yang disebut dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa.

“Persoalan saya, di manakah kedudukan PDRM dalam perkara ini?

“Apakah PDRM akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama menahan serta membawa balik individu berkenaan bagi tujuan penyiasatan atas skandal kewangan terbesar dalam negara, pada hari ini,” soalnya.