Categories
PBT SELANGOR

Kerjasama rakan kursus, jaya impian peserta terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 6 OKT: Mejar (B) Mohd Hairul Nizam Salimin menyifatkan kejayaannya memperoleh Anugerah Keseluruhan Terbaik adalah hasil kerjasama peserta kursus latihan asas penguatkuasa itu.

Pembantu Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) itu diumumkan menerima anugerah terbabit dalam Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Selangor di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (Pulapes), Jugra, di sini, semalam.

Beliau yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam perkhidmatan tentera menyertai MDKL sejak tiga tahun lalu berasa gembira dengan kejayaan itu.

“Saya bersyukur muncul peserta terbaik dan ia berkat kerjasama serta bantuan rakan yang bersama dalam kursus latihan ini.

“Kursus ini mendedahkan peserta dengan pelbagai aspek berkenaan undang-undang kecil dan tempatan yang mempunyai hubung kait dengan PBT,” katanya menambah menyertai kursus itu selepas menolak dua kursus sebelumnya kerana mempunyai komitmen lain.

Mohd Hairul Nizam menerima anugerah itu juga Pemakaian Jawatan daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan), Dato’ Mazlan Md Noor yang turut merasmikan majlis penutup kursus berkenaan.

PC (16 of 17)Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor; Pengarah Pusat Latihan Awam Selangor, Dr Ahmad Sairi dan Komandan Pulapes, Muhamad Osman.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Azriq Yunus turut menerima anugerah Pemakaian Jawatan dan Kepimpinan Terbaik daripada Mazlan.

Selain itu, Pembantu Penguatkuasa MBSA, Mohd Nadzry Mohd Amry terpilih sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik; Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Azizan Azhar (Anugerah Kawad Kaki Terbaik) dan Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya, Shah Effendi Shapie (Anugerah Aktiviti Luar Terbaik).

Seramai 39 pembantu penguatkuasa PBT Selangor mengikuti kursus latihan siri kedua di pusat berkenaan.