Categories
NASIONAL

Latihan ikut modul elak buli-Tengku Abdullah

PEKAN, 6 OKT: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah setiap latihan askar wataniah perlu mengikut modul ditetapkan untuk mengelakkan gejala buli dalam kalangan anggota mahupun pegawai.

Baginda bertitah, modul latihan ketenteraan yang dilaksanakan dengan sempurna dapat membantu meningkatkan tahap ketahanan fizikal serta mental mereka yang memilih untuk menganggotai pasukan itu.

Modul itu, tambah baginda bukan bertujuan memberi kesempatan kepada mana-mana individu untuk menyakiti atau mencederakan orang lain.

“Saya tidak bersetuju dengan aktiviti buli-membuli ini. Ia (buli) tidak sepatutnya berlaku di mana-mana, bukan hanya dalam bidang ketenteraan malah semua bidang di negara mana sekalipun.

“Bentuk latihan yang keras dan tegas dalam ketenteraan adalah biasa tetapi tidak perlulah sampai ada niat hendak membuli orang lain seperti yang dilaporkan dalam media,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap merasmikan Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 di Kem Force 136 Sungai Miang, di sini, semalam.

*Sumber: BERNAMA