Categories
SELANGOR

Buat kecoh depan SUK, Jamal ditahan polis

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus ditahan polis, di Sekinchan awal pagi tadi atas tindakan memecahkan botol minuman keras di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan peserta perhimpunan.

“Tangkapan dibuat kira-kira jam 1.45 pagi dengan lapan individu ditahan di Sekinchan, Sabak Bernam.

“Perintah reman akan dikemukakan di Mahkamah Shah Alam, pagi ini,” katanya dalam kenyataan,

Semalam, Jamal dilaporkan membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal yang tiba bersama kira-kira 10 anggotanya, bagaimanapun dihalang memasuki bangunan berkenaan oleh pengawal keselamatan.

Beliau kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan terbabit.