Categories
NASIONAL

Lawatan Najib ke Amerika sekadar raih populariti rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung lawatan ke Amerika Syarikat membabitkan isu pembelian kapal terbang Boeing tidak meyakinkan dan mengelirukan umum.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, jawapan diberikan perdana menteri bertentangan dengan penjelasan menterinya, Datuk Mustapha Muhammad.

“Jawapan perdana menteri ke Amerika Syarikat sangat tidak meyakinkan dan kabur, bahkan ia seakan meremehkan persoalan orang ramai.

“Perdana Menteri menyebut tentang pembelian kapal terbang Boeing untuk MAS dan ramai daripada pihak industri penerbangan juga pengurusan MAS sendiri terkejut dengan pengumuman itu.

“Namun pada 23 Oktober lalu, menteri pula menyatakan tiada sebarang perjanjian pelaburan dimeterai dalam pelaburan itu dan ini menunjukkan tiada perancangan terperinci dibuat terhadap lawatan berkenaan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Raja Bahrin tidak menolak kemungkinan, lawatan perdana menteri ke Amerika hanya bersifat propaganda politik untuk meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap Najib.

Katanya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan populariti Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Ini nampaknya lebih kepada agenda menaikkan profil peribadi Najib dan kerana itu persoalan ini tidak dijawab secara telus oleh perdana menteri dan menteri kabinetnya.

“Jelas lawatan Najib berjumpa Trump bukan ada program pelaburan rasmi terancang tetapi hanya alasan untuk menaikkan profil beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Pada September lalu, Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Rumah Putih untuk menemui Presiden Donal Trump dan pertemuan itu didakwa sebagai signifikan hubungan diplomatik ke-60 kedua-dua negara.