Categories
SELANGOR

Nasib kaum India terus dibela, peruntukan naik

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 16 OKT: Kerajaan Negeri komited terus membela nasib kaum India sama seperti yang dilakukan sejak mendapat mandat pentadbiran pada 2008.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, tradisi itu diteruskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sejak mengetuai pentadbiran negeri tiga tahun lalu dan perkara sama akan dilakukan pada masa akan datang.

“Kalau kita lihat peruntukan rumah ibadat kaum India telah dinaikkan daripada RM1 juta pada 2008 kepada RM1.7 juta pada 2017.

“Begitu juga pembangunan dan baik pulih bagi Sekolah Tamil, Dato’ Menteri Besar telah menaikkan jumlah peruntukan daripada RM4 juta kepada RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Sambutan Perayaan Deepavali 2017 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Jalan Tengku Kelana, Klang, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Selangor prihatin dengan sambutan perayaan semua kaum berbanding pihak lain yang lebih gemar mengadakan sambutan menerusi anjuran parti politik.

Selain itu, beliau turut bersetuju dan menyokong kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang dikeluarkan baru-baru ini.

Antara petikan kenyataan itu menyatakan rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip utama terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

=EZY=