Categories
EKONOMI SELANGOR

Optimis lepasi sasaran pelaburan RM6.5 bilion

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan Negeri menjangkakan Selangor bakal mencapai lebih pelaburan daripada jumlah disasarkan RM6.5 bilion.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jangkaan itu berdasarkan trend pencapaian tahun lalu yang melebihi sasaran.

Katanya, beliau juga optimis Selangor berada di landasan betul untuk mencapai sasaran, setakat ini.

“Pada 2017, kita meletakkan RM6.5 bilion untuk Selangor tetapi diharapkan kita boleh capai satu angka lebih tinggi pada tahun ini.

“Ini kerana, pada 2016, kita jangka perolehan RM6 bilion namun kita dapat RM7.88 bilion,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 2016, Selangor berada satu tangga daripada Johor daripada jumlah pelaburan.

Berdasarkan jumlah projek diluluskan, Selangor bagaimanapun terus kekal di atas dengan 242 projek diikuti Johor dengan 165 projek.

Untuk rekod sehingga 2016, sebanyak 4,713 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan RM136 bilion.

Sejumlah RM70.3 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan tempatan sementara baki RM65.7 bilion pula pelaburan asing.

Pertumbuhan cemerlang itu menyaksikan Selangor berada pada tangga kedua selepas Johor yang memperoleh pelaburan tertinggi iaitu RM166 bilion, dalam tempoh sama.

Ia diikuti Sarawak dengan pelaburan bernilai RM101 bilion, Pulau Pinang (RM88.6 bilion) dan Kedah (RM58 bilion).

 

=EZY=