Categories
SELANGOR

Pecah botol arak, pakai tuala, apa jenis pemimpin ini?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 7 OKT : Rakyat menolak amalan politik samseng ditunjukkan Pemimpin Umno Datuk Seri Jamal Yunos, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Jamal disifatkan ‘mabuk’ kerana berterusan mengamalkan amalan provokasi melampau terhadap pentadbiran negeri.

“Dalam komitmen Kerajaan Negeri membangunkan ekonomi rakyat, ada pula individu yang mabuk menyerang pejabat Kerajaan Negeri.

“Pecah botol, pakai tuala, apa jenis pemimpin ini? Rakyat hidup susah, rakyat mahu kediaman selesa dan pekerjaaan yang baik.

“Rakyat tidak mahu amalan politik samseng, politik longkang. Apa yang rakyat mahu adalah pemimpin yang dapat bela nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada satu majlis, di sini.

Khamis lalu, Jamal memecahkan lebih 100 botol minuman keras di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Susulan kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pihaknya menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan peserta perhimpunan.

=EZY=