Categories
GLOBAL

Pembuli wanita bakal didenda serta-merta

PARIS 17 OKT: Lelaki yang bersiul dan mengganggu wanita di jalanan di Perancis, akan didenda serta-merta, kata Menteri Wanita Perancis, Marlene Schiappa.

Schiappa, 34, berkata undang-undang itu perlu bagi menangani perbuatan seksis golongan lelaki khususnya di tempat awam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Ia penting kerana pada masa kini gangguan jalanan tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada radio RTL berhubung cadangan itu yang akan diundi, tahun depan.

Dakwaan serangan seksual produser Hollywood, Harvey Weinstein, ke atas ramai aktres memperbaharui perdebatan terhadap gangguan seksual dan pemangsa di Perancis.

Ditanya kesukaran menetapkan batas antara gangguan dan godaan, Schiappa menjawab: “Kita tahu di tahap mana kita mula berasa takut, tidak selamat atau diganggu di jalanan.”

Beliau memberi contoh, seorang lelaki menceroboh ruang peribadi seorang wanita, ‘apabila bercakap 10, 20 sentimeter dari wajah anda,’ atau mengekori seorang wanita sejauh beberapa blok atau ‘meminta nombor telefon 17 kali.’

Satu pasukan tugas khas dianggotai lima ahli parlimen diminta bekerja dengan polis dan majistret untuk memikirkan definisi gangguan jalanan.

“Peringkat denda sedang dibincangkan,” kata Schiappa sambil menambah polis kejiranan akan bertindak atas aduan dikemukakan wanita.

=EZY=