Categories
GLOBAL

Pesawat Air France A380 mendarat cemas di Kanada enjin rosak

PARIS 1 OKT: Pesawat penumpang superjumbo A380 Air France dalam penerbangan dari ibu kota Perancis ke Los Angeles terpaksa melakukan pendaratan cemas di timur Kanada semalam berikutan ‘kerosakan serius’ pada salah satu daripada empat enjinnya.

“Penerbangan 066 mendarat tanpa kerosakan lanjut di lapangan terbang tentera Goose Bay di Kanada dan semua 520 penumpang dan anak kapal dipindahkan tanpa sebarang kecederaan,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu di Paris, lapor AFP.

Laluan penerbangan pesawat dua tingkat itu diberikan semula ketika ia melepaskan Greenland, mendarat di Goose Bay pada jam 1.12 petang waktu tempatan.

Pendaratan berjalan lancar bagi pesawat membawa 496 penumpang dan 24 anak kapal, katanya. Syarikat penerbangan mencari cara lain membawa penumpang ke Amerika Syarikat.

air-france-engine-blowoutVideo dan gambar yang disiarkan di media sosial oleh penumpang atau saudara mereka, menunjukkan kerosakan teruk di bahagian depan luar enjin, dengan sebahagian daripada pelindung luarnya tercabut.

Air France mengendalikan 10 pesawat Airbus A380.

Goose Bay dikendalikan Tentera Udara Diraja Kanada tetapi turut bertindak sebagai lapangan terbang sementara kepada penerbangan yang dilencongkan.

=EZY=