Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

QS University Ranking 2018: MIT terbaik dunia, UM terbaik Malaysia

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 17 OKT: Massachusetts Institute of Technology (MIT) menduduki ranking terbaik universiti dunia 2018 dalam laporan dikeluarkan QS University Ranking iaitu agensi berpangkalan di United Kingdom yang membuat penarafan peringkat serantau dan dunia.

Stanford University menduduki ranking kedua, manakala Harvard University
berada di tempat ketiga dalam senarai penarafan universiti dikeluarkan pada laman sesawang rasmi www.topuniversities.com, hari ini.

Di peringkat Asia, tempat pertama diduduki Nanyang Technological University, manakala tempat kedua adalah National University of Singapore, sementara tempat ketiga adalah The Hong Kong University of Science and Technology.

Sementara itu diperingkat Malaysia, tempat pertama diduduki Universiti Malaya (UM), tempat kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di tempat ketiga.

Lima universiti penyelidikan negara menunjukkan peningkatan dalam senarai QS University Rankings: Asia 2018 apabila tersenarai dalam 50 universiti terbaik Asia.

Universiti Malaya (UM) mencatat pencapaian terbaik apabila menduduki tangga ke-24 tahun ini berbanding ke-27 tahun lalu.

Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kejayaan membanggakan apabila melonjak 13 tangga daripada kedudukan ke-49 tahun lalu kepada kedudukan ke-36.

Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meningkat 12 tangga daripada kedudukan ke-55 pada 2017 kepada 43, tahun ini.

Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menunjukkan peningkatan selepas prestasi menurun tahun lalu apabila kembali menduduki senarai 50 terbaik.

Kedudukan itu menyaksikan USM meningkat lima anak tangga daripada kedudukan ke-51 tahun lalu kepada 46 tahun ini, manakala UTM meningkat 14 anak tangga daripada kedudukan ke-63 kepada 49 tahun ini.

Penilaian kali ini membabitkan 425 universiti utama daripada 17 negara Asia yang dibuat berdasarkan 10 indikator.

Indikator terbabit iaitu reputasi akademik, majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, sitasi penerbitan, nisbah fakulti antarabangsa, bilangan staf memiliki ijazah doktor falsafah (PhD), nisbah pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar masuk dan pertukaran pelajar.

 

=EZY=