Categories
SELANGOR

Sistem tuai air hujan di surau & masjid ke arah jimat air terawat

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 10 OKT: Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) bakal diperluaskan di kawasan masjid dan surau untuk menjimatkan penggunaan air terawat dalam perancangan Belanjawan 2018 Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, melalui pelaksanaan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan pejabat daerah dan wakil rakyat bagi mengenal pasti masjid dan surau terlibat.

“Ini merupakan salah satu cadangan untuk Belanjawan 2018 nanti di mana kita berhasrat untuk memasang sistem ini di surau dan masjid serta akan bekerjasama dengan pejabat daerah dan wakil-wakil Selangor bagi melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Amalan Hijau dan Tahunan Pokok di Pejabat Daerah / Tanah Hulu Langat di sini.

Katanya lagi, bagi meningkatkan kualiti alam sekitar supaya lebih berkualiti dan produktif, program menanam pokok akan diteruskan selain merencana dua projek khas bersama Jabatan Perhilitan.

“Program ini akan berterusan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang lebih kondusif,” katanya.

Menerusi kaedah tersebut, ia dapat menggalakkan penggunaan semula air hujan yang bukan untuk diminum seperti kegunaan tandas, mencuci lantai, menyiram pokok bunga dan kerja-kerja pembersihan am.

Sementara itu, sebagai langkah menjimatkan teknologi hijau, beliau turut mencadangkan satu projek kecil dan pembangunan di peringkat negeri untuk memasang peralatan berunsurkan teknologi hijau.

“Contohnya, dengan memasang tenaga solar panel di bangunan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik,” katanya.

=EZY=