Categories
NASIONAL

SPRM tahan 3 individu didakwa seleweng dana kementerian

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian, dalam siasatan berkenaan penyelewengan dana sebuah kementerian persekutuan di Sabah.

Memetik laporan BERNAMA, bekas timbalan setiausaha berusia 40 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada jam 8.15 malam, semalam.

“Turut ditahan pemilik syarikat pembinaan berusia 52 tahun di pejabat SPRM Sabah, pada jam 8.45 malam semalam,” kata seorang sumber kepada agensi terbabit.

Selain itu, SPRM turut menahan seorang pengarah dan pemilik syarikat berusia 46 tahun, pada jam 6.40 petang hari sama di pejabat SPRM Sabah.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mendedahkan, SPRM menyita akaun bank berjumlah RM29 juta lagi dalam siasatan kes itu.

Sebelum ini, SPRM menyita lebih RM150 juta dalam akaun bank susulan siasatan dilakukan pegawai penyiasat badan itu di 15 lokasi di Sabah.