Categories
GLOBAL

Korea Utara ugut musnahkan Jepun

KOREA UTARA, 6 OKT: Pyongyang tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklearnya keatas Jepun selepas negara matahari terbit itu cuba meyakinkan dunia supaya memaksa Korea Utara menghentikan program nuklearnya.

Korea Utara membuat ugutan tersebut melalui artikel yang disiarkan Agensi Berita Korea (KCNA), lapor International Business Times.

“Tokyo, mangsa pertama senjata nuklear mungkin akan menghadapi kemusnahan (melalui senjata nuklear) sekali lagi,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan KCNA lagi, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dituduh ‘mempunyai sasaran tidak elok dalam politik negaranya’ dengan menaikkan kos pertahanan negara Jepun dan mengadakan pilihan raya mengejut.

“Tiada siapa tahu bila situasi kecam-mengecam ini akan menjadi perang nuklear, jika ia terjadi, Jepun akan terbakar dalam masa sesaat,” kata kenyataan KCNA lagi.

September lepas, Shinzo Abe hadir ke mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat menggesa tekanan diberikan kepada Korea Utara dan bukannya diajak berdialog.

Ketika ini, PBB telah mengenakan beberapa sekatan terhadap Korea Utara sebagai tekanan untuk negara tersebut menghentikan program nuklearnya.