Categories
SELANGOR

SSDU di landasan tepat jayakan Smart State

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berjaya memainkan peranannya secara proaktif dalam merealisasikan hasrat Selangor bergelar Smart State, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, SSDU giat membangunkan beberapa prasarana penting dalam mewujudkan persekitaran ‘Internet of Things’ (IOT) dalam tempoh begitu singkat.

Katanya, ia termasuk pembangunan pusat aduan, Smart Selangor Command Centre; aduan jalan berlubang, Waze Connected Citizens Program dan pengurusan sisa pepejal di bawah KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Statistik aduan sampah misalnya dilihat begitu mendadak menurun di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit dan aduan jalan berlubang dapat disampaikan dengan cepat seterusnya tindakan PBT juga cepat.

“Kaedah sebegini yang diperkenal SSDU membantu meningkatkan kecekapan dan penyampaian Kerajaan Negeri dan PBT seterusnya menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui sejurus selesai menyambut kunjungan ‘United Kingdom Mega Technology Mission’ ke Malaysia, di Istana Selangor, semalam.

Ditubuhkan pada April 2016, SSDU merupakan unit khas diberi mandat
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

=EZY=