Categories
SELANGOR

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri ke Mekah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan berangkat ke Tanah Suci Mekah, hari ini.

Makluman berhubung keberangkatan baginda disiarkan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menerusi laman Facebook miliknya.

“Beta mendoakan keberangkatan ayahanda dan Tengku Permaisuri Selangor ke Tanah Suci Mekah penuh kesejahteraan dan segala urusan dipermudah Ilahi.

“Semoga Allah memberkati setiap langkah dan mengurniakan hidayah serta petunjuk seperti yang Dia limpahkan kepada hambaNYA yang soleh,” titahnya.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.

Tengku Amir Shah turut menyatakan pemergian baginda berdua diiringi doa daripada rakyat dengan harapan Selangor terus diberkati di bawah pemerintahan Sultan Selangor.

“Semoga kemakmuran dan pembangunan negeri bertuah ini terus dikecapi dan dinikmati rakyat. Amin Ya Rabbal Alamin,” titah baginda.

Dalam kapsyen disertakan Tengku Amir Shah, turut kelihatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta pimpinan Kerajaan Negeri yang lain.