Categories
SUKANKINI

Tour De Selangor: Jersi biru milik Mohd Elmi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OKT: Pelumba PDRM-G Cycling Team, Mohd Elmi Jumari berjaya mencabar kemaraan pasukan Team Sapura Cycling dengan menduduki podium teratas Tour De Selangor 2017.

Pasukan itu turut meraih kejayaan berganda apabila Mohd Elmi berjaya menyarung jersi biru, pada aksi perlumbaan peringkat kedua.

Beliau menamatkan perlumbaan sejauh 84.4 kilometer (km) membabitkan jarak laluan perlumbaan dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu.

Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menerusi pelumba Mohd Zamri Salleh dan pelumba Sitra Kelantan State Cycling Team, Mohamad Saufi Mat Senan masing-masing berada, pada kedudukan kedua dan ketiga.

Sementara pelumba Team Sapura Cycling, Muhammaad Zawawi Azman berjaya mengekalkan jersi merah selaku raja bukit menerusi perlumbaan dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Zawawi juga berjaya menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan.

Pelumba muda terbaik diberikan kepada pelumba Terengganu Cycling TSG, Muhd Nur Aiman Mohd Zariff.

Tour De Selangor yang berlangsung selama lima pusingan membabitkan jarak perlumbaan keseluruhan sejauh 558.4km.

Perlumbaan itu dianjurkan LifeProFit Sdn Bhd dengan kerjasama MSN Selangor dan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS).