Categories
NASIONAL

Tragedi Las Vegas: Tiada rakyat Malaysia jadi mangsa

KUALA LUMPUR 3 OKT: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian serangan tembakan di konsert muzik di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) apabila 58 dilaporkan maut dan 515 cedera pada Ahad malam.

Jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan Malaysia di AS bagi mengesahkan maklumat itu termasuk untuk mendapatkan perkembangan lanjut insiden berkenaan.

“Setakat ini tiada orang Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Jurucakap polis Joe Lombardo pada sidang akhbar berkata, suspek utama menggunakan senapang automatik dan melepaskan tembakan dari tingkat 32 hotel berkenaan ke arah pengunjung. Suspek berjaya dibunuh selepas polis mengesannya.

Media tempatan melaporkan kejadian berlaku pada pukul 11.30 Ahad malam yang menyaksikan ratusan das tembakan dilepaskan oleh penyerang tunggal itu.

=EZY=