Categories
SELANGOR

TVET: Najib bagi RM5 juta, kita bagi RM10 juta satu negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 31 OKT: Peruntukan RM5 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memperkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Persekutuan disifatkan terlalu kecil.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sebaliknya memperuntukkan RM5 juta untuk membiayai anak Selangor menjalani program TVET di Kolej Antarabangsa Inpens, bagi tahun ini.

Katanya, tambahan RM5 juta turut diperuntukkan untuk menaik taraf dan menambah fasiliti di Inpens, bersesuaian dengan kehendak pasaran TVET yang berkait rapat dengan peralatan serta teknologi terkini.

“Sekarang Persekutuan baru nampak TVET, itupun dengan peruntukan sangat kecil.

“Kita sudah lama perkasa TVET di Selangor, sejurus mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri pada 2008 lagi, malah peruntukan terus bertambah dari tahun ke tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Majlis Sambutan Deepavali Inpens, di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, seramai 5,333 anak Selangor menerima manfaat tajaan program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, melibatkan peruntukan lebih RM20 juta, sejak 2008.

Katanya, peruntukan 2008 dimulakan dengan RM2 juta dan kekal sehingga 2013.

“Selepas itu, pada 2014, kita tingkatkan kepada RM4 juta dan tahun ini naik lagi kepada RM5 juta.

“Ia akan terus meningkat bagi membolehkan lebih ramai pelajar ditaja dan seterusnya menyumbang kembali kepada pembangunan negeri,” katanya.

=EZY=