Categories
NASIONAL

Wan Azizah jawab ‘Wan Azizah Najib’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengulas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memetik kejayaan individu bernama ‘Wan Azizah’ pada pembentangan Bajet 2018 lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kejayaan individu itu terhasil daripada keberkesanan pelaksanaan dasar yang diilihamkan bekas menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Wan Azizah, Anwar Ibrahim yang ketika itu berada dalam kabinet Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam usaha membantu golongan usahawan tempatan.

“Terima kasih kepada YB Pekan atas cerita Kak Zah kelmarin dan bersusah payah menjemput Kak Wan Azizah Wan Salleh ke Dewan Rakyat.

“Tahniah saya ucapkan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia di atas kejayaan membimbing seorang usahawan wanita hingga berjaya.

“Saya ingin ingatkan, asal usul usaha ini bermula hasil penyelidikan dan kertas cadangan daripada kertas cadangan Universiti Sains Malaysia yang diangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 1987.

“Ia menjadi program khas dalam usaha membasmi kemiskinan rakyat dan kejayaan Kak Wan itu membuktikan kejayaan dasar yang dicetuskan Anwar Ibrahim,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, Najib memetik nama ‘Wan Azizah’ dalam pembentangan Bajet 2018 lalu sebagai individu kental yang berjaya dalam bidang keusahawanan.

Tindakan itu dipercayai sebagai sindiran kepada ketua pembangkang untuk menyerang kepimpinan Wan Azizah.

Untuk rekod, Wan Azizah Wan Salleh memulakan perniagaan menggunakan dana pinjaman awal RM500 daripada AIM.

Usahawan wanita itu kini berjaya sebagai jutawan wanita dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam.