Categories
SUKANKINI

Yakinkan syarikat swasta melabur dalam sukan hoki

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OKT: Kesukaran meyakinkan syarikat swasta melabur dalam sukan selain bola sepak dilihat antara punca ia kurang mendapat perhatian penyokong tempatan, walaupun mempamerkan aksi cemerlang serta mengecap kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Penganalisis sukan, Muhammad Rizal Hashim berkata, bola sepak sepenuhnya profesional di Malaysia, berbanding hoki yang bersifat semi-pro walaupun mempunyai penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Bola sepak merupakan sukan profesional yang menyerlah di Malaysia tetapi tidak menyerlah di peringkat antarabangsa, manakala hoki dan sukan lain pula tidak mempunyai struktur khas dalam negara tetapi menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Hoki secara tradisinya layak ke Sukan Olimpik sejak 1970-an, malah ada pemain hoki dibayar lumayan tetapi bermain separuh masa kerana komitmen selaku pekerja di syarikat luar.

“Saya berpandangan jika kita ingin membandingkan sukan bola sepak dengan hoki, ia tidak sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pembelaan ganjaran dan kebajikan pasukan hoki negara yang sering mempamerkan aksi cemerlang di peringkat antarabangsa berbanding skuad bola sepak.

Muhammad Rizal berkata, walaupun negara tidak mempunyai struktur khas seperti sukan olahraga, renang, berbasikal dan tenis, atlet seperti Azizulhasni Awang dan Datuk Nico Ann David berjaya menarik penajaan secara individu.

Katanya, tiada kekangan untuk menjadikan sukan hoki profesional penuh di Malaysia, malahan Konfiderasi Hoki Malaysia (MHS) memiliki ‘master plan’ untuk jangka masa panjang.

“Mereka cuba memasarkan produk menerusi pelan pemasaran baik tetapi banyak syarikat swasta enggan melabur secara besar-besaran dalam hoki kerana memikirkan pulangan pelaburan.

“Kita perlu memikirkan cara meyakinkan pelabur berpotensi dari sektor swasta bahawa mereka juga mampu memperoleh pulangan lumayan atas pelaburan, penjenamaan produk dan tayangan siaran langsung.

“Walaupun bola sepak mempunyai ramai penonton di negara kita, mereka juga bergelut mencari penaja,” katanya.