Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad hoki remaja lelaki tekad beri tentangan sengit kepada Perancis

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Skuad hoki remaja lelaki negara tekad memberi tentangan sengit kepada Perancis dalam usaha untuk memburu slot ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India.

Menjelang saingan suku akhir menentang Perancis pada Rabu ini, Ketua Jurulatih Kebangsaan Wallace Tan berkata anak buahnya akan tetap memberi cabaran hebat kepada lawan dari Eropah itu yang disifatkannya sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan kali ini.

Dalam saingan Kumpulan B, Rabu lepas, Perancis mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan juara bertahan, India 5-4.

“Perancis merupakan pasukan yang kuat kerana jika dilihat daripada kejayaan menewaskan India, mereka nampaknya mempunyai pemain yang bermutu tinggi namun kami akan memberi tentangan kuat kepada mereka nanti,” katanya dalam satu video yang dikongsi kepada media hari ini.

Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas melakar kemenangan dramatik 4-3 ke atas Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A, semalam.

Kejayaan mara ke suku akhir pastinya melegakan kem negara selepas mereka menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum kejohanan itu bermula pada 24 Nov lepas.

Skuad kebangsaan membuka tirai kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menang tipis ke atas Chile 2-1 (Rabu lepas) sebelum berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium, 1-1, Jumaat lalu.

Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A dan berkongsi tujuh mata dengan juara Belgium, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan besar yang memihak kepada jaguh Eropah itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pegawai, pemain hoki langgar SOP Covid-19 disenarai hitam

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini memberi amaran keras kepada pemain dan pegawai yang terlibat dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pendekatan berasaskan kuarantin yang dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata individu didapati melanggar gelembung MHL dengan keluar dari kawasan ditetapkan, akan disenarai hitam dan perlu meninggalkan gelembung itu serta-merta.

Anil Jeet berkata sepanjang liga itu yang masing-masing bermula pada 11 dan 15 Mac bagi liga lelaki dan wanita sebelum berakhir pada 4 April, kira-kira 600 pemain dan pegawai akan ditempatkan dalam gelembung MHL di sebuah hotel atau asrama yang akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Pasukan petugas akan bertanggungjawab memantau pasukan serta pegawai. Sebaik sahaja mereka memasuki gelembung itu, mereka tidak akan dibenarkan keluar. Bukan mudah bagi kami hendak mendapatkan kebenaran dan melangsungkan liga di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 ini, justeru kami harap semua orang akan patuh pada peraturan. Kita tidak mahu ada masalah ketika liga berlangsung.

“Bagaimanapun, pengecualian akan diberikan sekiranya wujud situasi kecemasan seperti kematian atau isteri bersalin,” katanya pada sidang media di pejabat konfederasi itu di Stadium Hoki Nasional di sini hari ini.

Anil Jeet berkata setiap anggota pasukan melepasi ujian polymerase chain reaction (PCR) tiga hari sebelum memasuki gelembung itu pada 10 Mac, sementara ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK) akan dijalankan semasa liga berlangsung.

Beliau turut mengesahkan MHC akan menanggung semua kos untuk gelembung tersebut termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan ke Stadium Hoki Nasional yang dianggar sekitar RM300,000.

“Setakat ini semua pasukan bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan serta SOP. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan liga ini diadakan dan Lembaga Eksekutif MHC akan menanggung kos tambahan,” katanya.

MHL 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 14 Januari hingga 20 Februari namun ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuat kuasa dari 14 Jan hingga 18 Feb bagi mengekang penularan Covid-19.

Pasukan lelaki yang mengesahkan penyertaan mereka ialah juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.

Liga wanita pula disertai PKS UniTen, PDRM The Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKP: Bola sepak, hoki dibenar latihan sahaja, acara beregu dilarang

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, latihan untuk sukan seperti bola sepak, bola keranjang, sepak takraw dan hoki, dibenarkan secara kemahiran kendiri tanpa melibatkan perlawanan dan sentuhan, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Berikutan kekeliruan tatacara operasi piawai (SOP) mengenai sukan tersebut beliau berkata, latihan hantaran bola, kemahiran seperti menimbang dan menggelecek juga dibenarkan, asalkan penjarakan fizikal dipatuhi, tidak melibatkan sentuhan, selain kapasiti penggunaan padang atau gelanggang 30 peratus daripada kapasiti sebenar.

“Sukan seperti hoki dan bola sepak tidak boleh adakan perlawanan tetapi latihan sahaja, manakala acara beregu tidak dibenar untuk badminton, tenis dan ping pong, kerana sukar untuk menjaga penjarakan dan wujud kemungkinan untuk berlaku sentuhan dan ‘titisan’ sekali gus membawa risiko penularan.

“Kita nak tolong operator padang komersial beroperasi, sekurang-kurangnya mereka boleh membuat latihan, dan penggiat yang ada kelab boleh memulakan aktiviti kecergasan secara bersemuka, berbanding hanya menerusi secara dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita di Sports Arena hari ini.

Reezal Merican yang sebelum itu melakukan tinjauan ke Kelab Golf Glenmarie, venue latihan pasukan Liga Super UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, dan Sports Arena Sentosa, mengakui berpuas hati dengan pematuhan kepada peraturan dan SOP di premis berkenaan.

Beliau turut memuji langkah operator fasiliti sukan, yang mengambil langkah tambahan seperti mempamerkan maklumat keputusan ujian calitan pekerja, yang dapat memberi keyakinan kepada pengguna, selain berharap pengusaha gimnasium mengekalkan kepatuhan, apabila hanya wujud satu kes penularan dalaman daripada 3.1 juta kunjungan ke kemudahan gimnasium, ketika ia diberi kelonggaran pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Arena Datuk Jack Koh sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan untuk membenarkan pihaknya beroperasi berkata, kebanyakan operator fasiliti sukan hampir ‘lemas’ dan tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’, selepas ditutup sejak 13 Jan lalu.

“Saya rasa mematuhi kepada SOP yang ketat lebih baik berbanding kami ditutup terus dan seperti yang boleh kita lihat, sukan adalah keperluan sama seperti makanan, air dan udara, untuk meningkatkan sistem imunisasi kita. Semua kakitangan kami diuji setiap bulan dan keputusannya dipaparkan, kami mensanitasi arena selepas setiap sesi dan melabur untuk membeli gantri pensanitasian, bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kami juga membahagikan gelanggan kepada lima zon, setiap pasukan hanya bermain di satu zon,” katanya dan menambah fasiliti itu turut mempunyai 21 gelanggang badminton dan empat gelanggang futsal selain kemudahan gimnasium, yoga, ping pong, sepak takraw dan gimnastik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: AHF tangguh dua kejohanan hoki utama Asia

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pasukan hoki lelaki dan wanita kebangsaan perlu menunggu lebih lama sebelum dapat kembali menyertai pertandingan antarabangsa berikutan penangguhan dua kejohanan utama Asia.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 Apr telah ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Menurut AHF, langkah beberapa negara di Asia mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung wabak itu turut menjejaskan persiapan pasukan dalam menjalani latihan.

“Ancaman situasi tidak menentu dan kurang baik dihadapi pasukan bertanding adalah satu faktor lain. AHF sentiasa berusaha menyediakan peluang seimbang kepada semua dan berikutan itu kami tidak dapat meneruskan kejohanan dalam keadaan tidak menentu ini.

“Akhirnya, varian baharu Covid-19 telah melumpuhkan dunia sekali lagi, dan kami tidak dapat meneruskannya dalam ancaman baharu ini,” menurut AHF dalam laman sesawangnya.

AHF memaklumkan bahawa keputusan penangguhan kedua-dua kejohanan itu dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sambil menambah bahawa kedua-dua kejohanan membabitkan pasukan lelaki dan wanita itu kemungkinan berlangsung pada September dan Oktober.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad projek khas hoki wanita mula aksi antarabangsa April depan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Skuad Projek Khas Wanita akan memulakan tugasan antarabangsa pertama mereka pada April 2021, selepas Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan Kejohanan Hoki Piala Remaja Wanita Asia 2021 di Kakamigahara, Jepun dijadualkan bermula pada 11 hingga 17 April 2021.

Kejohanan yang menawarkan tiga slot ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 itu, sepatutnya berlangsung dari 6 hingga 12 April lepas, namun terpaksa ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengendali Skuad Projek Khas Wanita Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pasukannya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh AHF itu, pada Selasa.

Nasihin berkata beliau bersama pasukan sememangnya telah melakukan persediaan lebih awal, walaupun Malaysia kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Latihan yang dilakukan kini lebih tertumpu kepada spesifik teknik hoki serta ketahanan dan kecergasan pemain. Sementara bagi latihan hoki pula kami menumpukan kepada teknik permainan itu sendiri dan intensiti latihan juga ditingkatkan untuk mendedahkan pemain kepada situasi perlawanan sebenar.

“Pemain remaja kini masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan hoki yang tinggi, namun mereka telah menunjukkan tahap usaha yang cukup baik,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Nasihin berkata skuad bimbingannya meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan tersebut, sekali gus mahu mencipta sejarah tersendiri dengan melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021, menerusi slot tiga pasukan terbaik kejohanan.

“Saya serta barisan jurulatih yang lain seperti Lailin Abu Hassan, Siti Rahmah dan Roslan Jamaluddin, akan sentiasa memastikan pemain mempunyai motivasi yang tinggi dalam setiap sesi latihan, selain kami juga sudah mula menerapkan semangat untuk menang di dalam diri mereka,” katanya.

Menurut laman web rasmi AHF, www.asiahockey.org, kejohanan edisi kali ini akan menampilkan aksi pasukan China, India, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand, dan Uzbekistan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Kejohanan Hoki B-14, B-16 Kebangsaan dibatalkan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kejohanan Hoki Bawah 14 tahun (B-14) dan 16 tahun (B-16) Kebangsaan 2020 bagi kategori lelaki dan wanita yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini menjadi dua lagi kejohanan yang terpaksa dibatalkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankusa Pertandingan KHM Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata adalah mustahil untuk melangsungkan kejohanan melibatkan pemain di bangku sekolah itu berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan, selain melibatkan penyertaan wakil negeri dan perjalanan rentas negeri.

Katanya keputusan membatalkan kejohanan itu dicapai pada mesyuarat kali keenam Jawatankuasa Pertandingan KHM Sabtu lepas setelah mengambil kira pandangan dan panduan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara.

“Kejohanan ini melibatkan pemain di bangku sekolah dan kini kebanyakan sekolah di Malaysia terpaksa ditutup ekoran Covid-19 dan membatalkan kejohanan ini adalah keputusan yang terbaik kerana saya juga yakin ibu bapa pemain turut tidak mahu mengambil risiko sekiranya anak-anak mereka terdedah kepada ancaman Covid-19,” kata Anil Jeet dalam kenyataan yang dikeluarkan KHM hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan hoki wanita negara distruktur semula

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pemain hoki wanita negara tidak lagi dipecahkan kepada dua sebaliknya kedua-dua skuad senior dan remaja kini digabungkan dalam satu pasukan yang dikenali sebagai Projek Khas Sukan Asia 2026.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata 80 peratus pemain pasukan projek itu terdiri daripada mereka berumur bawah 21 tahun manakala 20 peratus berusia lebih 21 tahun.

Beliau, bagaimanapun berkata ketua jurulatih yang bakal membimbing pasukan projek khas itu belum diputuskan, dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.

“Kita sudah senarai pendek dua calon tempatan dan dua calon luar negara. Siapa pun yang bakal jadi ketua jurulatih, dia akan mula lapor diri selewat-lewatnya 1 Sept ini,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.

Subahan berkata KHM tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana individu yang akan dipilih mempunyai tugas besar untuk meletakkan skuad hoki wanita negara di satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Selepas ini hanya akan ada satu pasukan wanita sahaja tetapi dengan enam tahun persediaan dan pembiayaan yang mencukupi, saya rasa memadai untuk kita cipta sesuatu pada Sukan Asia 2026,” katanya.

Selain pasukan hoki wanita, beliau berkata pasukan remaja lelaki negara turut diletakkan di bawah Projek Khas Sukan Asia 2026 yang akan diselia oleh pengarah teknikal baharu KHM yang akan dilantik pada 1 Sept.

Subahan berkata pengarah teknikal itu bukan hanya ditugaskan untuk memantau ketua jurulatih skuad remaja lelaki dan pasukan wanita, tetapi turut akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KHM Prof Dr S Shamala bagi Program Pembangunan Hoki Kebangsaan.

Selain itu, Subahan turut mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj sebagai ketua pembantu jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan.

Arul yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 15 Ogos ini, bakal digandingkan dengan Ketua Jurulatih, Roelant Oltmans serta Penolong Jurulatih sedia ada, Muhamad Amin Rahim dan Jurulatih Penjaga Gol, Nasihin Nubli Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Konfederasi Hoki Malaysia terima tajaan RM1.5 juta daripada Puma

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerima suntikan tajaan daripada pengeluar kasut dan pakaian sukan terkemuka, Puma, bernilai RM1.5 juta untuk tempoh tiga tahun mulai tahun depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata jenama Jerman itu akan menjadi pakaian rasmi skuad kebangsaan khususnya ketika skuad lelaki sedang membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November ini.

Walaupun tajaan tersebut bermula secara rasmi tahun depan tetapi Subahan berkata skuad Speedy Tigers itu dapat memakai jenama itu sebelum ke Dhaka.

“Tajaan sebanyak RM500,000 setahun itu termasuk jersi, pakaian trek dan stokin untuk semua skuad negara manakala pemain mempunyai pilihan kasut dan kayu hoki masing-masing,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen tajaan antara MHC dan Puma di Stadium Hoki Nasional di sini, hari ini.

Puma diwakili oleh Pengurus Active Sports Centre, S. Murugeson iaitu wakil tajaan dan hal ehwal korporat jenama itu di Malaysia.

Jersi baharu skuad kebangsaan sedang dalam proses reka bentuk dan dijangka dilancarkan pada hujung Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Subahan, berkata jurulatih baharu bagi skuad wanita negara akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan MHC esok.

Beliau turut mengesahkan semua pemain negara yang mengambil ujian calitan Covid-19 awal minggu ini didapati negatif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Speedy Tigers cari rentak ke Trofi Juara-juara Asia

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Skuad hoki lelaki kebangsaan akhirnya dapat turun menjalani latihan pasukan semalam, selepas lebih tiga bulan berehat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Seramai 31 pemain, termasuk tujuh daripada skuad junior menjalani sesi latihan hari pertama dalam dua kumpulan berbeza di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Penolong jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata peringkat awal latihan tertumpu untuk meningkatkan motivasi pemain selepas hanya menjalani latihan di rumah sejak Mac lepas.

“Kebanyakan pemain sangat teruja hendak pegang kayu hoki, tapi kita manusia, tak sempurna, jadi ada yang rasa macam berat nak datang latihan. Inilah tujuan latihan, dalam seminggu pasti ok, ada motivasi semula.

“Hari ini pun boleh lihat dari teknikal dan skil teruk. Tetapi kita akan bertambah baik dari hari ke hari, dan menambah sesi lain kemudian seperti ujian kecergasan,” katanya kepada pemberita.

Mohd Nasihin dan seorang lagi penolong jurulatih, Mohd Amin Rahim diberikan tanggungjawab melatih skuad ‘Speedy Tigers’ itu sehingga ketua jurulatih, Roelant Oltmans selesai menjalani kuarantin selepas kembali dari Belanda pada Isnin lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abd Razak berkata, penting buat skuad negara memulakan latihan seawal yang mungkin untuk berada dalam keadaan bersedia mengharungi saingan Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November.

Ini kerana Malaysia tidak pernah muncul juara sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011, walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kesemua lima edisi.

“Selepas tiga bulan berehat, kita tak nak desak pemain untuk elak kecederaan. Para jurulatih pun telah merangka pelan yang rapi untuk memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik menjelang kejohanan itu,” katanya.

Kejohanan Trofi Juara-juara Asia menjadi satu-satunya kejohanan bagi tahun ini, selepas Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dibatalkan ekoran kebimbangan penularan Covid-19.

Pemain skuad ‘Speedy Tigers’ hadir ke latihan dari rumah masing-masing manakala pemain skuad remaja lelaki dan wanita yang akan memulakan latihan bermula Ahad, akan menetap di Casa, MSN, tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kuota layak automatik ke Piala Dunia Hoki 2022/23 ditambah

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menambah kuota kelayakan ke Piala Dunia 2022/23 menerusi kejohanan-kejohanan Kontinental, daripada enam ke sebelas buah negara.

FIH dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan, keputusan itu dibuat Lembaga Eksekutifnya selepas merujuk kepada Persekutuan-Persektuan Kontinental dan juga Jawatankuasa Atlet FIH, berikutan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke 2021, selain kejohanan-kejohanan kontinental yang dijadualkan semula, akibat pandemik Covid-19 dunia.

Mengikut format baru, lima juara kontinental, tuan rumah piala dunia dan lima negara mengikut kepada ranking terakhir di Kejohanan Kontinental 2021 yang relevan, akan mendapat tiket kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23.

Berdasarkan kepada peruntukan daripada Kejohanan Kontinental 2021 masing-masing, juara Afrika, dua pasukan terbaik Asia, Oceania, Pan Amerika dan negara-negara Eropah, akan menyertai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2022, Spain dan Belanda untuk beraksi di piala dunia.

Bagi Piala Dunia Lelaki 2023 pula, slot kelayakan automatik akan diberikan seperti berikut — empat pasukan terbaik Kejohanan Eropah, juara Afrika dan Pan Amerika, dua pasukan terbaik benua Oceania, selain tiga pasukan Asia terbaik (termasuk tuan rumah Piala Dunia, India).

Sebelum ini, hanya juara masing-masing dari lima kejohanan kontinental dan juga tuan rumah Piala Dunia akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Liga Hoki Remaja Malaysia tunda

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19, dan terbaharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh ditentukan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain.

“Ia selaras ketetapan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

“Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Anil Jeet berkata, menerusi perbincangan dengan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, tiada jangka masa maksimum tempoh penundaan itu ditetapkan sebaliknya tarikh baharu hanya akan dimuktamad selepas mendapat ‘lampu hijau’ dari KBS dan Kementerian Pendidikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

UniKL rangkul gelaran ‘treble’ musim 2020

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Dua gol pantas dalam tempoh seminit menyaksikan pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih gelaran ‘treble’ musim ini selepas menundukkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 pada saingan akhir Piala TNB 2020, di sini, malam tadi.

Keputusan itu menutup musim yang cemerlang kepada jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, selepas mengekalkan rekod tanpa kalah serta menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Bagaimanapun, UniKL terpaksa berhempas pulas untuk menembusi benteng pertahanan THT yang dikemudikan oleh pemain import Korea Selaran, Jang Jon-hyun.

Malah, THT membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang Nabil Fikri Mohd Noor menerusi percubaan pukulan sudut penalti.

UniKL sebagai pasukan terbaik dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga, tidak patah semangat untuk terus berjuang pada aksi separuh masa kedua.

Kelekaan benteng pertahanan THT pada minit ke-48 membawa padah apabila Mohd Faid Farhahd Mohamad Shah dan pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jali melakukan gerakan kilat untuk melakukan jaringan padang dalam tempoh seminit.

“Ini adalah kenangan paling manis untuk menang tiga piala serta mengekalkan rekod bersih musim ini. Tahun depan, kita perlu buat persiapan awal untuk meningkatkan prestasi.

“Semua tahu nak memang lebih mudah dari nak pertahankan kejuaraan. Namun secara keseluruhan saya rasa pasukan UniKL telah bermain dengan baik sepanjang musim,” kata Arul selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

-BERNAMA