Categories
AGAMA SELANGOR

72 NGO Islam terima sumbangan MAIS

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM910,000 kepada 72 badan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawahnya, hari ini.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammad Adzib Mohd Isa berkata, semua NGO Islam terbabit menerima bantuan dana antara RM10,000 hingga RM20,000 menerusi aktiviti dakwah yang dijalankan.

“Ini menunjukkan MAIS komited membantu NGO-i dalam melaksanakan aktiviti yang memenuhi syarak dan undang-undang khususnya kepada masyarakat, di Selangor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua NGO-i yang terbabit dalam memperkasakan syariat Islam dan semoga kita semua mendapat ganjaran daripada Allah SWT atas segala usaha dalam mempertahankan Islam, di Selangor.

“Diharapkan bilangan NGO Islam akan bertambah lagi pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Dana NGO-i MAIS 2017, di sini.

Sumbangan menggunakan peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu disampaikan Mohammad Adzib diiringi Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan NGO-i.

Antara NGO-i yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Persatuan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (PEMADAM) dan Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Selangor.