Categories
EKONOMI GLOBAL

Alibaba catat jualan RM105 bilion, RM41 bilion sejam selepas bermula

GLOBAL 12 NOV: Syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba mencatat rekod baharu apabila meraih jualan AS$25.4 bilion (RM105 bilion) ( pertukaran 1USD = (RM4.19) selepas memperkenalkan acara beli-belah terbesar di dunia, dikenali sebagai Single’s Day sejak tengah malam semalam.

Jualan sebanyak AS$10 bilion (RM41 bilion) berjaya diraih dalam tempoh sejam selepas acara itu bermula sekali gus mengatasi rekod pada tahun lalu iaitu AS$17.7 bilion (RM74 bilion), lapor REUTERS.

Acara itu diadakan setahun sekali dan memberi peluang kepada pembeli untuk mendapatkan tawaran murah dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, kira-kira 1.5 bilion bungkusan dijangka akan dihantar kepada pembeli dalam tempoh enam hari akan datang.

“Ini merupakan acara besar untuk China, untuk ekonomi China. Pada Single’s Day, membeli-belah ialah sukan dan hiburan,” kata Pengasas Bersama dan Naib Pengerusi Ali Baba, Joseph Tsai.

Tambah Tsai, peningkatan pendapatan lebih 300 juta pengguna kelas pertengahan negara ini telah membantu memacu penjualan atas talian syarikat tersebut.

Dalam pada itu, Fu Wenyue, 23, berkata, dia telah membelanjakan kira-kira AS$600 (RM2,511.90) untuk pakaian, kosmetik dan perkakasan dapur pada acara berkenaan.

“Saya sudah membeli beberapa barangan tetapi belum puas berbelanja lagi,” kata Wenyue.

=EZY=