Categories
SELANGOR SUKANKINI

Badminton erat hubungan media-Perangsang Selangor

PETALING JAYA, 1 NOV: Program Sukan Untuk Semua anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) terus rancak menerusi Pertandingan Badminton Jemputan Media, di Champion Arena, Kayu Ara, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan media, artis serta kakitangan.

Katanya, ia turut menggalakkan aktiviti riadah selain peserta berupaya menjalani gaya hidup sihat.

“Pertandingan badminton media mendapat sambutan menggalakkan dengan pembabitan pasukan dari Mediaretis (gabungan artis dan RTM), Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), SUTERA (artis), Sinar Harian dan Perangsang Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pertandingan julung kali itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tanah air seperti Dato’ DJ Dave, Farawahida dan Shah Slam serta 10 pemain badminton remaja bawah 15 tahun negara dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Mohd Fauzi berkata, pertandingan itu menyaksikan pasukan NSTP berjaya membawa pulang piala pusingan, pingat, raket badminton serta wang tunai berjumlah RM1,600 ,manakala tempat kedua dimenangi pasukan Mediaretis yang menerima pingat, barangan sukan serta wang tunai RM800.

“Tempat ketiga dimenangi SUTERA yang menerima pingat dan barangan sukan disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Perangsang Selangor, Sivarasa Rasiah dan Exco Negeri, Elizabeth Wong.

“Perangsang Selangor turut melantik J World Sports kendalian bekas pemain kebangsaan, Jason Wong untuk melaksanakan lapan program Sukan Untuk Semua, pada tahun ini dengan sasaran 750 peserta,” katanya.