OLEH ERMIZI MUHAMAD
KUALA LUMPUR, 1 NOV: Paparan logo dacing Barisan Nasional (BN) selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru- baru ini tidak disengajakan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, pihak berkenaan yang menjaga slaid, pada sesi pembentangan bajet sudah mengemukakan permohonan maaf atas kesilapan itu.
“Saya menerima penjelasan dan pihak berkenaan juga memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas kesilapan terbabit kerana penyediaan slaid ini sebagai sokongan visual kepada ucapan Perdana Menteri.
“Dalam hal ini, pemaparan logo BN adalah tindakan tidak disengajakan dan terlepas pandang oleh pihak penyelia slaid, justeru saya menyeru semua ahli Yang Berhormat jadikan kejadian ini sebagai iktibar serta tidak perlu berulang pada masa hadapan,” katanya lapor portal BNBBC.
Terdahulu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Pato pada sidang media Isnin lalu mendedahkan kewujudan logo dacing BN yang dipaparkan, pada televisyen di Dewan Rakyat.
Beliau menyifatkan tindakan itu tidak menghormati prinsip Perlembagaan di Dewan Rakyat, lebih-lebih lagi kejadian terbabit didakwa pertama kali berlaku dalam sejarah pembentangan bajet negara.
“Sejak saya menjadi Ahli Parlimen pada 2003, ini kali pertama saya lihat di Parlimen logo dacing dipaparkan semasa persidangan.
“Adakah ini bermaksud Kerajaan BN semakin terdesak dan sanggup menggunakan apa cara sekali pun untuk rakyat melihat logo dacing itu dipaparkan?” katanya.