Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir Pulau Pinang: Selangor terus salur bantuan

  1. OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Pulau Pinang, 6 NOV: Kerajaan Negeri terus menggerakkan misi bantuan ke atas mangsa banjir di Pulau Pinang.

Hari ini, 185 anggota daripada pelbagai agensi daripada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal digerakkan ke negeri itu selepas kumpulan pertama sukarelawan yang diketuai Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) tiba, semalam.

Pengerusi PANTAS, Hamsah Djabil berkata, 70 anggota PANTAS dan sukarelawan KEADILAN bakal bergerak ke kawasan banjir teruk yang disasarkan, sebentar lagi.

“Anggota UPBN dan PBT bakal bergerak ke sini pada jam 9.45 pagi dan dijangka tiba kira-kira jam 6 petang ini.

“PANTAS dan UPBN bakal bekerjasama untuk penyelarasan bantuan misi ke kawasan yang paling teruk ditimpa banjir. Ketibaan 185 anggota ini juga lengkap dengan jentera pembersihan,” katanya.

UPBN akan tiba dengan pelbagai kelengkapan antaranya dua bot, dua dron, enam pam air, dua lori tangki air dan lapan lori.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan RM1 juta kepada Pulau Pinang sebagai bantuan banjir yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini adalah usaha kecil Selangor membantu Pulau Pinang pada waktu yang sukar begini, tetapi saya gembira melihat negeri ini terutama di bahagian pulau yang mula pulih,” katanya kepada wartawan di George Town, semalam.

Mohamed Azmin sebelum itu turut menziarahi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, di pejabatnya di Komtar.