Categories
NASIONAL

Campur tangan kerajaan perlu kekang diskriminasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa campur tangan bagi mengelakkan isu diskriminasi bangsa dan agama terus berlarutan, hingga menimbulkan suasana negatif serta merugikan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, isu terbabit perlu ditangani dengan serius melalui peruntukan undang-undang anti diskriminasi dalam pekerjaan seperti dilaksanakan, di United Kingdom.

Katanya, Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu memberi perhatian dan menegur pihak berkenaan.

“Tidak dapat tidak, penguat kuasaan berterusan dan pendidikan berkenaan hak pekerja juga mesti dilaksanakan bagi menghentikan diskriminasi berasaskan kaum dan agama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), di sini, hari ini.

Ahmad Yazid berkata, pendirian itu turut dikongsi bersama 15 organisasi bukan kerajaan lain seperti Angkatan Belia Islam (ABIM), DPMM, Centre for Human Rights and Advocacy (CENTHRA) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Katanya, penguat kuasaan boleh dilaksanakan jika kerajaan menggubal satu akta anti diskriminasi dengan mekanisme bersesuaian.

“Selain tidak menepati ciri sebuah negara yang memiliki budaya tempatan berbilang bangsa, tindakan diskriminasi juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.