Categories
SELANGOR

MDHS mohon satu lagi laluan Bas Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Kerajaan Negeri diharap mempertimbang penambahan laluan baru Bas Smart Selangor, di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Timbalan Yang Dipertuanya, Azman Dahlan berkata, laluan dicadangkan adalah dari Bandar Sungai Buaya ke Stesen Komuter Serendah.

Katanya, ia bakal melengkapkan jaringan sistem pengangkutan awam lebih cekap bagi rakyat, di daerah itu.

“Bagi pihak rakyat Hulu Selangor, saya memohon Kerajaan Negeri menambah lagi satu laluan.

“Jarak kita dengan Kuala Lumpur sebenarnya tidak terlalu jauh, namun ketandusan perkhidmatan pengangkutan cekap.

“Jika ada perkhidmatan cekap dengan Bas Smart Selangor, dalam setengah jam atau 45 minit kita sudah sampai ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Karnival Inisiatif Peduli Rakyat dan sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam Taman Sentosa, di sini, hari ini.

Pada 2016, MDHS mula dilengkapi dua laluan iaitu dari Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bharu dan Stesen Komuter Batang Kali ke Ulu Yam, dengan dua bas bagi setiap laluan.

Pada masa sama, Azman turut memohon perhatian Kerajaan Negeri membantu MDHS yang mentadbir pintu masuk Selangor.

“Seharusnya MDHS diberi perhatian lebih memandangkan keluasan kita sama besar dengan Melaka.

“Apalagi, tahun ini kita menjayakan promosi Tahun Melawat Hulu Selangor 2017 untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.