Categories
SELANGOR

Jangan biar ‘branding’ jadi tembok pemisah

OLEH LIZAWATI MADFA

BANGI, 16 NOV: Jenama sesebuah institusi diharap tidak dijadikan tembok pemisah dalam mengurus perbezaan membina kesatuan ummah.

Pengerusi Dewan Pendidikan Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Dato’ Dr Noor Inayah Yaakub berkata, itu merupakan harapan dizahirkan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

“Beliau memberi contoh UNISEL yang terletak di dalam Selangor dan sering disabitkan dengan kerajaan pembangkang.

“Beliau sangat berharap, semua pihak datanglah ke UNISEL dan jangan takut menampilkannya dalam aktiviti yang mengurus kesatuan pemikiran demi kesejahteraan masyarakat.

“UNISEL adalah institut pengajian tinggi yang program akademiknya tertakluk kepada entiti dan kementerian yang sama,” katanya.

Beliau membacakan ucapan penutup Mohammad Redzuan yang sepatutnya menyempurnakan Majlis Multaqa Fuqaha 2017, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Majlis itu merupakan anjuran bersama Fakulti Syariah dan Undang-undang Koleh Universiti Islam Selangor, MDN dan Institut Maqasid Syariah, UNISEL.

Ia disertai 142 peserta terdiri dalam kalangan ahli akademik universiti, mantan pegawai tinggi kerajaan, pentadbir, jabatan agama, professional dan mahasiswa.

Dengan tema ‘Mengurus Perbezaan Membina Kesatuan’, multaqa itu turut menampilkan sesi pembentangan panel multaqa.

Antaranya, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri dengan tajuk Isu Khilafiah: Peranan Institusi Fatwa dan Agama, Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid (Pengurusan Ikhtilaf Dalam Politik dan Pentadbira) dan Dato’ Dr Siddiq Fadzil (Pengurusan Ikhtilaf Dalam Konteks Hubungan Kaum).